Sabtu, 22 Oktober 2016

'Bajet 2017 - Sengsara untuk rakyat tahun hadapan'

Bajet 2017 membuktikan bahawa kerajaan bukan hanya kehabisan wang tunai, tetapi keadaan akan menjadi lebih buruk, membuatkan 2017 mungkin menjadi tahun yang paling sengsara untuk rakyat Malaysia.
K'jaan gagal penuhi sasaran pendapatan 2016
Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan belanjawan mengumumkan kerajaan dijangka mengutip RM225.7 billion untuk tahun 2016.
Walau bagaimanapun, berdasarkan anggaran terkini, pendapatan 2016 kini disemak semula kepada RM212.6 bilion. Ini adalah kekurangan yang sangat besar iaitu 5.8 peratus atau RM13.1 bilion bagi 2016.
Untuk meletakkan perkara dalam perspektif, dan untuk menunjukkan betapa gawatnya keadaan, lazimnya pada masa lalu, kerajaan akan mengutip lebih banyak hasil daripada unjuran mereka.
Kekurangan ini pula menyebabkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan lebih rendah daripada yang diunjurkan.
Kerajaan kini menganggarkan perbelanjaan mengurus untuk 2016 akan berkurangan daripada RM215.2 bilion kepada RM207.1 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan akan jatuh dari RM50 bilion kepada hanya RM45 bilion.
Sebagai contoh, ini adalah sebab mengapa kita melihat pemotongan besar dalam perbelanjaan kesihatan, sehingga menjejaskan ujian darah yang kritikal serta peningkatan kos ubat-ubatan untuk rakyat marhaen.
Emolumen dan pembayaran hutang
Ini hanya akan menjadi lebih buruk pada 2017.
Peningkatan saiz perkhidmatan awam telah menyaksikan bayaran "emolumen" bagi 2016 meningkat sebanyak RM3.8 bilion kepada RM73.9 bilion walaupun perbelanjaan operasi berkurangan sebanyak RM8 bilion.
Bagi tahun 2017, kerajaan mengunjurkan bayaran emolumen akan meningkat sekurang-kurangnya RM3.6 bilion.
Dalam pada itu, bayaran untuk pencen dan persaraan pula akan meningkat dengan ketara daripada RM19.0 bilion pada 2016 kepada RM21.8 bilion pada tahun 2017.
Di samping itu, caj "khidmat bayaran hutang" tahunan - ansuran dan pembayaran balik yang perlu dibayar oleh kerajaan atas pinjaman yang diambil pada masa lalu - telah meningkat dengan ketara.
Untuk 2016, adalah dianggarkan ia berjumlah RM26.6 bilion atau kenaikan RM2.36 daripada tahun 2015.
Pada tahun 2017, jumlah itu akan terus meningkat kepada RM28.9 bilion. Ini adalah akibat dasar pinjaman melulu kerajaan sehingga hutang kerajaan persekutuan sepanjang dekad lalu terus meningkat.

Peningkatan berkembar emolumen dan caj persaraan serta bayaran khidmat hutang dalam konteks pendapatan dan perbelanjaan operasi yang semakin mengecil hanya akan bermakna kurang dana untuk perbelanjaan penting yang lain.
"Subsidi dan bantuan sosial" telahpun dikurangkan daripada RM39.7 bilion pada 2014 kepada RM27.3 bilion (2015) dan menjadi RM24.6 bilion (2016). Malah, ini akan dikurangkan lagi kepada RM22.4 bilion pada tahun 2017.
Wang juga akan berkurangan untuk bekalan perubatan, perumahan, biasiswa dan bentuk sokongan pendidikan yang lain.
K’jaan optimistik terhadap unjuran pendapatan 2017
Akhir sekali, satu-satunya sebab kerajaan masih mampu menonjolkan bajet ‘sederhana’ defisit 3 peratus bagi 2017 adalah kerana ia optimistik dengan unjuran hasil cukainya.
Walaupun anggaran cukai pendapatan petroleum (PITA) dijangka turun dengan ketara daripada RM11.6 bilion pada 2015 kepada RM8.5 bilion pada 2016, kerajaan mengandaikan harga minyak yang lebih tinggi dan permintaan yang meningkat untuk 2017 bagi menjana RM10.6 bilion.
Kerajaan juga mengandaikan peningkatan dalam cukai pendapatan Korporat (CITA) walaupun pada masa yang sama tidak menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.
CITA sebenarnya menurun sedikit pada 2016 kepada RM63.2 bilion daripada RM63.7 bilion pada tahun 2015. Walau bagaimanapun pada tahun 2017, kerajaan menjangkakan ia mampu mengutip RM69.2 bilion.
Begitu juga, di sebalik trend menurun cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada suku terakhir baru-baru ini, kerajaan masih mengunjurkan peningkatan dalam pungutan GST daripada RM38.5 bilion pada 2016 kepada RM40 bilion pada tahun 2017.
Semua perangkaaan dan hujah di atas membuktikan bahawa kerajaan kehabisan wang tunai dengan cepat dan bergelut untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaannya.
Keborosan kerajaan pada masa lalu - termasuk meningkatkan pengambilan perkhidmatan awam untuk mengurangkan pengangguran siswazah, pinjaman berlebihan - untuk membiayai ketidakcekapan, rasuah dan pembaziran telah dengan teruk mengekang kemampuan kerajaan untuk membekalkan perbelanjaan hari ini.
Justeru, apabila unjuran terlalu optimistik dalam kutipan hasil kerajaan gagal menjadi kenyataan, kita boleh menjangkakan 2017 akan menjadi tahun yang sangat sengsara bagi rakyat biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA