Sabtu, 22 Oktober 2016

Bajet 2017: Pemandu teksi berhenti berharap pada kerajaan...Uber anak emas kini..!!!

Selepas perdana menteri galak rakyat sertai Uber menerusi Bajet 2017, persatuan teksi ajak pemandunya cari cara lain untuk lebih berdikari, bukan bergantung pada kerajaan.
Kamarudin-Mohd-HussainPETALING JAYA: Pemandu teksi tidak mahu lagi berharap kepada kerajaan selepas Bajet 2017 yang dibentangkan hari ini, apabila perdana menteri sendiri menggalakkan rakyat menyertai perkhidmatan pemandu perkongsian seperti Uber atau GrabCar.
Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Hussain berkata pemandu teksi kini perlu mencari inisiatif lain untuk berdikari.
“Berapa banyak protes kami buat? Tiada satu pun yang dapat menghalang niat kerajaan untuk mengharamkan Uber dan GrabCar.
“Kami bukan berputus asa. Tetapi kami tidak mahu lagi bergantung harap pada kerajaan dalam menyelesaikan masalah menolak operasi perkhidmatan lain selain teksi,” katanya kepada FMT.
Dalam Bajet 2017 yang dibentangkan hari ini, Datuk Seri Najib Razak berkata golongan B40 khususnya penerima BR1M digalakkan menjadi pemandu dalam perkhidmatan seperti Uber atau GrabCar bagi menjana pendapatan tambahan.
Kamarudin berkata PERS1M menerima pengumuman itu dengan hati terbuka dan menganggap tindakan kerajaan ‘menghalalkan’ Uber sebagai cabaran kepada pemandu teksi.
“PERS1M tidak mahu berterusan bertelagah dengan mana-mana pihak dan menyarankan 100,000 pemandu teksi di negara ini menyertai program aplikasi 2Go sebagai antara usaha memberi nafas baru dalam industri teksi.
“Aplikasi yang bakal bermula Rabu depan mendapat kerjasama Ambank dan Celcom dan ia salah satu inisiatif kami untuk bersaing secara sihat,” katanya.
Beliau berkata bermula 26 Oktober depan tepat jam 12.01 pagi, semua pemandu serta penumpang yang menggunakan aplikasi ini bakal dilindungi insurans secara automatik.

Sementara itu, Pengasas Big Blue Taxi Services Shamsubahrin Ismail berkata Bajet 2017 tidak menampakkan sebarang usaha membantu pemandu teksi di negara ini.
“Peruntukan RM60 juta untuk geran RM5,000 bagi membeli kereta baharu yang mana mampu memberi manfaat kepada 12,000 pemandu?
“Jumlah 12,000 angka yang salah. Jika kerajaan mahu bantu, lebih 50,000 pemandu teksi masih menyewa kereta pada waktu ini. Jadi kenapa sebut 12,000 saja?,”katanya.
Dalam Bajet 2017, pemandu teksi juga perlu mencarum antara RM157 hingga RM 443 setahun atau RM13.07 sebulan bagi melayakkan mereka menerima bantuan Perkeso jika berlaku kemalangan dalam tempoh bekerja.
“Itu inisiatif yang baik. Namun secara keseluruhan, tiada apa yang menarik menerusi bajet kali ini. Tiada transformasi dapat dilihat. Mereka sudah pun membenarkan Uber beroperasi jadi tiada apa boleh diperkatakan lagi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA