Khamis, 27 Oktober 2016

Bajet 2017: Mahasiswa Pakatan Harapan tolak pemotongan dana universiti awam


Ahmad Fadhli Umar AminolhudaAhmad Fadhli Umar AminolhudaMahasiswa Pakatan Harapan bimbang peruntukan untuk sektor pendidikan tinggi negara dipotong sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun.
"Pemotongan secara berturut-turut ini sangat dikhuatiri akan menyebabkan kualiti pendidikan tinggi negara terjejas dan generasi anak muda atau mahasiswa akan turut terkesan dengan beberapa implikasi.
"Antaranya, seperti kos pengajian yang semakin meningkat dan jumlah penyelidikan akademik yang berkurang saban tahun," dipetik daripada kenyataan mereka hari ini.
Wakil kumpulan berkenaan, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda yang juga Pengerusi Mahasiswa Amanah berkata, pihaknya mendapati kemerosotan dana kepada Universiti Awam (UA) menjejaskan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti dialami Universiti Malaya (UM) sebagai antara universiti penyelidikan di Malaysia.
"Sejak 2014 hingga 2016, UM mencatatkan pemotongan peruntukan sebanyak 41.73 peratus. Akibatnya, jumlah R&D menyusut sebanyak 72 peratus.
"Adakah ini satu perkara yang kita mahu lihat dalam kita mengejar moto 'soaring upwards' atau secara realitinya kita menjadi semakin 'downward'?" bidasnya.
Kenyataan bersama Presiden Mahasiswa PKR Malaysia (MKM), Affendy Hasni dan Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti DAPSY, Leong Yu Sheng itu turut menegaskan pemotongan dana tersebut mengundang rantaian kenaikan pelbagai jenis yuran yang tambah membebankan mahasiswa.
"Pemotongan ini juga akan mengakibatkan kenaikan yuran di universiti sama ada melalui yuran pengajian, yuran kolej, dan yuran lain-lain.
"Sebagai contoh pada tahun 2016, pasca pemotongan yang lalu, kenaikan yuran telah berlaku secara mendadak sebanyak 300 peratus bagi Yuran Dana Kebajikan pada tahun 2015 berbanding 2014.
"Pada masa sama, yuran kolej kediaman bagi pelajar Ijazah Sarjana meningkat mendadak sebanyak 50 peratus berbanding 2014 dan ini tidak termasuk kos-kos lain yang terpaksa ditanggung oleh mahasiswa pada hari ini," dipetik daripada kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, Mahasiswa Pakatan Harapan bakal menggerakkan usaha yang serius dalam menzahirkan bantahan terhadap pemotongan peruntukan pengajian tinggi seperti dibentangkan dalam Bajet 2017.
"Kami dengan ini juga bersungguh-sungguh mendesak agar kerajaan dapat membuat penilaian semula supaya sektor pendidikan sebagai bidang utama negara terus mendapat tempat dan perhatian yang sewajarnya demi masa depan negara," tegas mereka.

Najib pada pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober lalu mengumumkan pemotongan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebanyak 9.31 peratus iaitu RM1.24 billion.
Secara lebih terperinci, peruntukan bagi UA menyaksikan potongan sebanyak 19.23 peratus iaitu berjumlah RM1.456 bilion.
"Mahasiswa Pakatan Harapan percaya bahawa pendidikan merupakan sektor paling utama negara dalam memacu Malaysia konsisten di landasan yang betul menuju sebuah negara yang maju dan bertamadun.
"Falsafah inilah yang menjadi sandaran kepada Mahasiswa Pakatan Harapan bahawa sektor pendidikan merupakan sektor yang perlu diberi keutamaan dan tidak seharusnya dianak-tirikan dengan pelbagai pemotongan yang tidak bersandarkan kepada realiti universiti-universiti awam," dipetik daripada kenyataan bersama itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA