Jumaat, 21 Oktober 2016

Bajet 2017: Hentikan bermewah, tumpu kebajikan rakyat


Bajet 2017Bajet 2017
Kerajaan BN tidak berpeluang untuk bermewah dengan pelbagai pemberian atau 'goodies' pilihan raya kecuali BRIM dalam Bajet 2017 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini ekoran tahap kewangan dan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan, sebaliknya perlu memastikan pembangunan sosial yang adil dan saksama dicapai dan dikecapi rakyat tanpa mengira kaum, budaya dan agama.
Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara tersebut perlu diutamakan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serius untuk membangunkan negara dalam acuan Maqasid As-Syariah.
"Sepakat di kalangan ahli ekonomi, Najib berdepan dengan tahun yang mencabar kalau tidak lebih parah berbanding 2016 ini. Tahun 2016 ini, Najib perlu berpada dengan dividen yang lebih rendah dari Petronas dan hasil cukai yang terjejas akibat kejatuhan minyak mentah dunia.
"Benar seperti didakwa Najib, hanya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyelamatkan ekonomi Malaysia! Ramalan pungutan GST sebanyak RM39 bilion, seandainya dicapai akan memberi keselesaan kepada Kerajaan Persekutuan. Pun begitu, kalau hasil minyak meningkat sedikit untuk setengah tahun kedua 2016 ini.
"Tetapi semua rakyat tahu semasa Tun Mahathir dan Pak Lah tidak ada pun GST. Rakyat tetap sejahtera dan tidak terbeban dengan GST. Pertumbuhan pun lebih rancak dan lebih tinggi sehingga kadangkala mencapai 9%.
"Tidak seperti pertumbuhan 4% KDNK dalam suku kedua 2016, baru-baru ini. Memang tidak berapa adil untuk membuat perbandingan seperti itu. Namun berkebetulan 4% adalah terendah dalam 7 tahun kebelakang ini," ujar beliau dalam tulisannya di keluaran terbaru akhbar mingguan Amanah.
Beliau turut melahirkan kekhuatiran dengan trend bajet Najib yang juga menteri kewangan sejak mengambil alih kepimpinan negara.
Antaranya nisbah perbelanjaan mengurus (Opex) yang melonjak ke paras hampir 99% dari pendapatan negara dalam tahun 2013 dan 2014, jauh lebih tinggi dari 79% ke 82% dari 1998 ke 2003.
"Najib bukan sahaja mengekalkan Opex yang tinggi sejak zaman Pak Lah (95% dalam 2008) bahkan terus meningkatkannya ke paras 99% pendapatan negara.
"Opex yang tinggi bermakna kerajaan menggunakan dana yang banyak untuk mengurus dan baki yang sedikit untuk mengurus pembangunan. Bahkan tahun-tahun mutakhir ini, semua pembangunan adalah dibiayai dengan secara berhutang atau 'debt-funded'," ujarnya.
Trend bajet Najib ini, ujar beliau telah meningkatkan hutang kerajaan Pusat kepada RM655.75 bilion bagi suku kedua 2016 (2Q2016).

"Servis bunga hutang ini sahaja ialah sebanyak RM26.64 bilion setahun atau RM2.22 bilion sebulan atau RM73 juta sehari. Ini bermakna 12% dari pendapatan negara digunakan untuk melunaskan hutang setiap tahun," katanya.
Dr Dzulkefly menambah, Pakatan Harapan (PH) telah mengangkat tema 'Menentukan Masa Depan' semasa merumuskan belanjawaan PH untuk 2017 dengan mengingatkan Najib tentang kepentingan tanggung jawab dan berhemah (pruden) dalam Bajet 2017.
Antara cadangan PH, ujarnya adalah mengurangkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang meningkat dari RM1.15 bilion pada 1986, RM2.39 bilion (1996), RM5.839 bilion (2006) dan melonjak kepada RM20.3 bilion (2016).
"Pemotongan wajar dibuat ke paras RM10 bilion bagi mengurangkan 'kos melepas' atau 'opportunity cost' dan peruntukan dibuat dalam sektor lain," saran beliau.
Pentadbiran Najib juga, tegas beliau perlu serius menutup lubang-lubang kebocoran dan pembaziran sebagai jalan mendapatkan sumber pendapatan memandangkan laporan Ketua Audit Negara mencatatkan 20% hingga 25% ketirisan pada setiap tahun.
"Penjimatan 20% (bersamaan RM6 bilion)  akan dapat dicapai seandainya langkah menangani rasuah dan kebocoran dapat diusahakan secara berkesan di sektor awam.
"Bagi memerangi rasuah, pendekatan-pendekatan yang lebih berkesan melibatkan badan-badan kawal selia, terutamanya SPRM, mesti jalankan," ujarnya.
Bagi mencapai pembangunan yang adil dan saksama terutama untuk golongan berpendapatan rendah (B-40), aspek perumahan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan sebagainya perlu diberi penekanan, namun BRIM tidak boleh dijadikan satu langkah bantuan subsidi jangka-panjang.
"Cash-handout atau subsidi, walaupun secara terus atau mensasar kepada kelompok yang bukan sahaja kepada B-40 tetapi juga kepada golongan Middle-40 atau M-40, mesti diatasi dengan langkah yang lebih mampan untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
PH juga menyarankan peluang sama-rata dalam pekerjaan dan keusahawanan dengan keperluan kerajaan membuat perbelanjaan di negeri-negeri yang paling miskin seperti Sabah, Kelantan, Sarawak, Kedah dan Terengganu.
Projek-projek pembangunan ini jelasnya mustahak bagi merancakkan pertumbuhan sekaligus peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat di negeri-negeri terbabit khasnya kelompok B-40 dan M-40.
Di bidang pekerjaan, kerajaan wajar berusaha untuk meningkatkan upah pekerja di negara ini ekoran gaji yang tidak berkembang setara dengan kadar kenaikan inflasi.
Bagaimanapun kenaikan gaji atau upah, tegas beliau perlu sejajar dengan produktiviti.
PH juga menyarankan pergantungan negara kepada pekerja asing dikurangkan secara beransur-ansur kerana ianya telah sampai ke peringkat kritikal.
"Pekerja asing yang sah terdiri dari 14% dari jumlah warga buruh dalam pasaran kerja yakni 14.73 juta sehingga Julai 2016," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA