Isnin, 24 Oktober 2016

Bajet 2017: Bekukan pembinaan dan konsesi lebuhraya yang menggunakan dana awam


Hentikan pembinaan lebuhraya guna dana awamHentikan pembinaan lebuhraya guna dana awam
Ketika bajet Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak minggu lalu menunjukkan beberapa siri pemotongan peruntukan yang terbesar pernah dibuat amat tidak wajar pembinaan dan konsesi lebuhraya menggunakan dana awam diteruskan.
"Tidak ada sedikit pun alasan moral yang boleh mempertahankan keputusan meneruskan pembinaan lebuhraya dengan dibiayai rakyat pada ketika peruntukan rakyat dipotong dan rakyat dibebankan dengan cukai," kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau sendiri akan menulis secara rasmi kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perancangan Ekonomi), Menteri Kerjaraya dan Menteri Besar Selangor agar segala kelulusan dibekukan secepat mungkin untuk menyelamatkan wang rakyat.

Bajet 2017 katanya menerima kesan pemotongan peruntukan kepada sektor-sektor yang penting seperti pendidikan, pendidikan tinggi dan kesihatan akan menghimpit rakyat yang kini sudah pun tertekan dengan kos sara hidup yang tidak pernah turun sejak Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

"Sebab itu, bermula hari ini, saya akan kemukakan peruntukan-peruntukan yang tidak dipotong oleh Dato’ Seri Najib yang sepatutnya dipotong agar peruntukan kepada sektor penting seperti pendidikan, pendidikan tinggi dan kesihatan tidak diusik," katanya.

Beliau mengalu-alukan saranan Dato’ Seri Najib supaya rakyat yang berhadapan dengan masalah kesempitan hidup menjadi pemandu Uber untuk menambah pendapatan.

"Saya mempunyai cadangan yang lebih baik yang boleh dilakukan segera oleh Dato’ Seri Najib untuk membantu rakyat.
"Saya cadangkan Dato’ Seri Najib tidak mengambil apa-apa gaji, imbuhan, elaun, kos ditanggung dan lain-lain untuk memotong perbelanjaan kerajaan agar ia dapat disalurkan kepada rakyat.
"Untuk menampung perbelanjaan harian beliau, saya mencadangkan Dato’ Seri Najib membuat kerja sambilan sebagai pemandu Uber pada sebelah malam, lagipun beliau sudah ada Menteri Kewangan II untuk menguruskan hal ehwal kewangan negara," katanya.

Menurut Rafizi, pada hari Selasa, 18 Oktober 2016 Menteri Kerja Raya telah menjawab soalan beliau mengenai bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada konsesi-konsesi lebuhraya, khususnya kepada Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE).


"Menteri Kerja Raya mengesahkan Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM995 juta (RM360 juta untuk pengambilan tanah dan RM635 juta pinjaman mudah dengan kadar 4%) kepada EKVE dan RM2,918 juta (RM1,140 juta untuk pengambilan tanah dan RM1,778 juta pinjaman mudah dengan kadar 4%) kepada SUKE," katanya.

Ini bermakna katanya, pada masa peruntukan kepada rakyat dipotong dengan drastik, Dato’ Seri Najib mengekalkan RM3,913 juta kepada dua konsesi lebuhraya ini iaitu bersamaan dengan 12% dari perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan yang diperuntukkan bagi 2017 (iaitu RM32 bilion).

"Lebih menjengkelkan ialah apabila rakyat tahu bahawa perbelanjaan kerajaan dibiayai oleh hutang kerajaan dan kutipan cukai GST dan cukai-cukai lain," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA