Jumaat, 21 Oktober 2016

Apa menanti rakyat M'sia dalam Bajet 2017

Semua tahu pilihan raya umum (PRU) ke-14 kemungkinan besar akan diadakan tahun depan, justeru, Bajet 2017 dikatakan mampu memberikan petunjuk kepada perancangan kerajaan itu.
Bagaimanapun, tatkala kantung negara tidak 'semeriah' dahulu ekoran kejatuhan harga minyak tahun ini dan harga komoditi tersebut masih berlegar-legar di paras AS$50 setong pada masa ini, ramai juga yang menjangka sebaliknya.
Pendapat yang sama dilontarkan oleh Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin yang tidak langsung melihat Bajet 2017 sebagai belanjawan pilihan raya.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor turut berkongsi pandangan yang sama dengan menyifatkan ia sebagai bajet urus tadbir negara dan tidak akan dipacu oleh faktor PRU.
Sekurang-kurangnya, banyak pihaknya mampu menarik nafas apabila Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan 1 April 2015 tetap kekal pada enam peratus.
Justeru, dalam kekangan kewangan yang menimpa negara dan keperluan untuk memenangi hati sanubari rakyat, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak nampaknya terpaksa 'berhempas-pulas' untuk menentukan apa yang kerajaan dan Perbendaharaan perlu jadikan keutamaan.
'Potongan peruntukan' 
Cakap-cakap mengenai kenaikan harga ubat-ubatan dan pengurangan ujian kesihatan khususnya ujian darah di hospital makin kuat kedengaran, walaupun kerajaan beberapa kali menepisnya.
Selain itu, biasiswa JPA juga khabarnya akan dihentikan untuk para pelajar dan penjawat awam yang mahu melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda dan ke atas di luar negara.
Apakah ini memberikan petunjuk bahawa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan antara kementerian yang bakal menerima kesan paling besar dalam bajet kali ini.
Peruntukan untuk JPM
Sejak Najib memasuki pejabat PM pada tahun 2009, peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) meningkat dengan ketara - RM12.2 bilion pada tahun 2010 kepada RM23.1 bilion tahun ini.
Kenaikan tersebut rata-rata disebabkan peningkatan jumlah menteri di JPM dari enam kepada sembilan semenjak Najib mengepalai kabinet.
Lebih daripada itu, fungsi beberapa badan tertentu dirasakan berlebihan seperti penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD) setelah negara memiliki Kementerian Pengangkutan.
Dengan pengurangan peruntukan terutama beberapa kementerian utama seperti pendidikan, kesihatan dan perdagangan
antarabangsa dan industri, pastinya sebarang lonjakan dalam peruntukan JPM pada bajet kali ini akan membuahkan kritikan yang luar biasa, sama ada dari dalam mahupun luar kerajaan.
Oleh itu, peruntukan JPM yang mendapat tentangan hebat di kalangan pembangkang dirasakan tidak mengalami peningkatan ketara walaupun wujudnya keperluan di jabatan itu untuk terus memayungi banyak keperluan dan kehendak semasa.
Percukaian
Putrajaya yang menyasarkan kutipan GST sejumlah RM39 bilion untuk tahun 2016 telah mengumpulkan RM17.2 bilion pada enam bulan pertama tahun ini.
Untuk tidak menambah beban rakyat terutama kenaikan harga barangan ekoran pengenaan GST itu, kerajaan telah merancang untuk mengekalkan kadar GST sedia ada enam peratus tetapi perlu meninjau sumber alternatif pendapatan tambahan.
Kerajaan telahpun menaikkan cukai ke atas golongan kaya dalam Bajet 2016 dengan kadar cukai pendapatan individu pemastautin yang mempunyai pendapatan mulai RM600,001 hingga RM1 juta dinaikkan satu peratus kepada 26 peratus berbanding 25 peratus sedia ada.
Bagi kalangan mereka yang berpendapatan melebihi RM1 juta pula, cukai yang dikenakan lebih tinggi iaitu tiga peratus kepada 28 peratus mulai 2016 berbanding 25 peratus.
Mungkinkah kerajaan terus 'menekan' golongan berada ini jika kerajaan mahu menaikkan lagi pendapatan percukaiannya atau mengenakan levi baru.
Bagaimanapun, terdapat spekulasi cukai korporat akan dikurangkan daripada 24 peratus kepada 23 peratus dalam usaha untuk merangsang perniagaan tempatan.
BR1M

BR1M yang diperkenalkan pada tahun 2012 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk beralih daripada subsidi menyeluruh kepada yang lebih disasarkan.
Baucar RM500 kepada isi rumah dengan pendapatan tahunan di bawah RM3,000 sebulan pada tahun 2012 telah dinaikkan
kepada RM1,000 pada bajet yang lalu dengan kategori baru diperkenalkan.
Bagaimanapun, kos untuk membiayai bantuan tunai meningkat tiga kali ganda, daripada RM1.8 bilion kepada RM5.9 bilion dalam Bajet 2016.
Oleh itu, terdapat beberapa gesaan untuk menamat atau mengurangkan BR1M kepada kumpulan berpendapatan lebih tinggi seperti baucar RM800 untuk isi rumah yang memiliki pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
Bagaimanapun, ini mungkin tidak berlaku dengan ura-ura kerajaan mahu mengadakan PRU tahun depan.
Kerajaan mungkin mengekalkan atau meningkatkan dalam jumlah yang kecil bantuan tunai tersebut bagi menjaga hati para pengundi.
Perumahan
Selain meneruskan program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), kerajaan juga mungkin mengambil beberapa langkah tambahan seperti membenarkan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak antara peratus kepada 40 peratus, untuk pembelian rumah pertama.
Langkah-langkah tersebut tidak akan membebankan kewangan kerajaan tetapi mampu memberi kesan jangka panjang
seperti penyusutan simpanan hari tua di kalangan rakyat.
Namun begitu, adalah tidak jelas sama ada kerajaan akan meneruskan subsidi RM30,000 bagi golongan pendapatan rendah kali pertama membeli rumah seperti program MyHome dan MyDeposit tatkala pendapatan negara semakin berkurangan.
Kereta lebih murah?
Bagi industri automotif yang menjadi antara penanda ekonomi negara, kerajaan juga khabarnya mungkin mengenakan duti
eksais sifar peratus ke atas kenderaan pemasangan tempatan (CKD) untuk pembeli kali pertama.
Langkah sedemikian boleh membantu pembeli menjimatkan sehingga RM2,000 sekaligus meningkatkan kemampuan mereka untuk memiliki kenderaan.
Berdasarkan angka berkenaan, pembeli pertama kali untuk kenderaan CKD mampu mendapat pengecualian GST atau diskaun cukai eksais dan bukannya pengecualian cukai eksais.
Menurut anggaran Hasil Persekutuan, kerajaan menjangka untuk mengumpul RM7.3 bilion dalam cukai eksais dari kenderaan tahun ini.
Melepaskan GST ke atas kenderaan CKD boleh meningkatkan hasil kerajaan kerana langkah itu boleh merangsang pembelian kenderaan yang masih tertakluk kepada cukai eksais dalam nisbah sepuluh kali ganda lebih besar.
Kesimpulan
Sama ada Bajet 2017 mampu untuk menjadi petanda bila PRU14 akan diadakan atau sebaliknya, semua pihak berharap menjadi di kalangan yang menang terutama rakyat yang berpendapatan sederhana dan ke bawah selain golongan peniaga.
Selain itu, peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga boleh diambil sebagai kayu pengukur kepada sebagai contoh,
peruntukan SPR diberikan antara RM35 juta dan RM45 juta di antara 2010-2012 dan secara tiba-tiba melonjak kepada RM461 juta pada tahun 2013.
Jika trend yang sama berlaku dalam Bajet 2017, maka hampir pasti PRU14 akan diadakan tahun depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA