Khamis, 20 Oktober 2016

Apa kerja Parlimen jika kerajaan terus berpura-pura skandal 1MDB tidak wujud?

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Apa fungsi sesi pertanyaan menteri diadakan jika soalan-soalan berkaitan skandal memalukan nama negara, 1MDB tidak dibenarkan sama sekali untuk dipersoal di Parlimen?
Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata Malaysia kini digelar sebagai ‘kleptokrasi global’ tanpa henti di seluruh dunia, namun sidang Parlimen di negara ini sedang berpura-pura seperti skandal itu tidak pernah wujud.
“Hari ini, saya sekali lagi mengajukan pertanyaan berhubung langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi membersihkan nama negara yang kini amat tercemar akibat skandal tersebut, namun ia tidak dibenarkan oleh Speaker.
“Oleh itu, saya akan terus memboikot sesi pertanyaan menteri. Walaupun ia sesi paling penting, tetapi ia sekadar wayang jika persoalan tentang kleptokrasi global ditolak,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Ketua Parlimen DAP itu pada Selasa lalu memboikot sesi pertanyaan menteri ekoran keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk tidak membenarkan sebarang soalan melibatkan tindakan undang-undang pihak berkuasa Amerika untuk menyita harta berkait dana 1MDB yang didakwa digelapkan.
Pandikar sebelum itu menyatakan persoalan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tidak perlu dijawab di Parlimen kerana kononnya ia sub judis.
Menurut Kit Siang, penolakan berulang kali soalan berkaitan 1MDB adalah satu percubaan terang-terangan kerajaan untuk melarang semua perbincangan atau persoalan mengenai 1MDB dan status Malaysia sebagai ‘kleptokrasi global’ diadakan.
Sedangkan, beliau menjelaskan, skandal 1MDB semakin diperkatakan di seluruh dunia. Terbaru, pemenang anugerah Oscar, Leonardo Di Caprio sendiri menyatakan beliau akan memberi kerjasama dalam siasatan dakwaan rasuah melibatkan syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA