Jumaat, 28 Oktober 2016

APA DOSA BESAR AHMAD HUSNI SEHINGGA DILAYAN, DICERCA SEBEGITU RUPA?

Apakah bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berdosa besar apabila meninggalkan Kabinet?
Juga apakah beliau sedang melakukan dosa besar kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?
Apakah kerana pertanyaan dan kebimbangannya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika  membahaskan rang undang-undang perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.
Ahmad Husni bukan bercakap mengenai 1MDB di ceramah atau pentas politik.
Dia bercakap di Dewan Rakyat, iaitu medan yang amat sesuai untuk dia mengemukakan soalan dan bertanya sesuatu yang masih terbuku di hatinya.
Beliau timbulkan beberapa persoalan seperti berikut:
1.      Untuk apa 1MDB ditubuhkan?
2.      Bagaimana masalah kewangan dan skandal 1MDB akan memberi kesan  kepada survival Malaysia.
3.      Mahu kerajaan mempertimbangkan beberapa kesan negatif akibat kontroversi 1MDB.
4.      Apa kesan dan persepsi dunia terhadap saman Jabatan Keadilan, Amerika  Syarikat?
5.     Apa nasib AS$4 bilion yang disalurkan kepada Aabar (BVI) tetapi  hilang. Apakah tindakan yang diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana melabur wang bukan di tempat sepatutnya?
6.      Bagaimana persepsi ke atas Malaysia jika International Petroleum Investment Co (IPIC) menang di mahkamah timbangtara antarabangsa bagi mendapatkan semula AS$ 6.5 bilion?; dan
7.      Memberi amaran, 1MDB akan menjejaskan peluang BN dalam pilihan raya akan datang dan kalaupun menang, bagaimana keadaan selepas itu?
Boleh media prokerajaan dan UMNO beritahu medan apa lagi yang lebih baik dan mulia selain Dewan Rakyat dan Dewan Negara?

Lagipun, Ahli Parlimen (MP) dibenarkan berucap dan mengemukakan pandangannya. Speaker membenarkannya, dan tidak  perlu meminta izin daripada media prokerajaan atau UMNO.
Kalau media berkenaan yang melulus atau membenarkan seseorang Ahli Parlimen (MP), kita boleh fahamlah.
Dia berucap bukan menentang atau mengherdik media prokerajaan dan UMNO.
Salahkah atau menjadi dosa besar jika ingin tahu tujuan sebenar 1MDB ditubuhkan selepas beliau gagal mencari jawapan ketika berada dalam kerajaan dan selepas berhenti daripada Kabinet?
Baguslah ramai menteri dan pemimpin UMNO, termasuk Ketua Penerangannya Tan Sri Annuar Musa mengetahui dengan jelas kenapa 1MDB ditubuhkan.
Tetapi Ahmad Husni tidak jelas, malah tertanya-tanya kenapa 1MDB ditubuhkan yang sepatutnya tidak menanggung berbagai beban, termasuk hutang sehingga RM52 bilion, selain apa yang disebutkan di atas.

Ahmad Husni turut bertanyakan apa jadi dengan unit pelaburan bernilai AS$1 bilion (RM4.17 bilion), yang sepatutnya matang tahun lepas.
Sepatutnya semua menghormati bahawa Ahmad Husni yang menjadi wakil rakyat berucap sebagai suara rakyat, setidak-tidaknya untuk kawasan parlimennya. Salahkah berbuat demikian?
Beliau bercakap  secara terbuka dan bukan mengatakan belakang. Apakah setiap ucapan mesti disajikan dengan hanya puji-pujian?
Kenapa mesti media prokerajaan – cetak, elektronik serta media baru UMNO – menghukum beliau sedemikian selepas meninggalkan Kabinet?
Apakah dosa Ahmad Husni dengan pengamal media prokerajaan sehingga diperlakukan sedemikian. Untuk dan demi apa?
Beberapa persoalan Ahmad Husni mudah untuk dijawab kecuali jika ada yang enggan melakukannya secara telus dan bercakap benar.
Kenapa sampai mahu mengorek isu peribadi dan isu keluarganya hingga sedemikian rupa?
Kenapa sebelum ini tiada cerita buruk mengenai Ahmad Husni tetapi kini timbul cerita seks dan kontrak dan sebagainya.
Berpandukan kepada apa yang berlaku terhadap Husni ini tidak pelik jika dikatakan ada di kalagan mereka dalam Kabinet yang takut memberi pandangan atau bertindak ‘keras’ sedikit kerana turut mempunyai skandal seks, rasuah dan sebagainya.
Kalau tidak ada apa-apa kenapa takut? Ahmad Husni sudah tahu dia akan di ‘blackmail’ tetapi sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, apa yang dilakukannya ini adalah dugaan yang terpaksa ditempuhinya.
Persoalannya, apakah pemimpin UMNO lain yang masih dan sudah tidak berkhidmat dengan kerajaan semuanya suci daripada dosa dan kini bersih ibarat kain putih?
Hakikat mengenai 1MDB ini semuanya rakyat semakin tahu dan peka. Media prokerajaan tidak adil jika bermain api dengan menghentam Ahmad Husni tetapi tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh beliau.
Sejak meletakkan jawatan dalam Kabinet, Ahmad Husni sudah mengatakan beliau ‘tidak boleh tidur malam’ dengan isu 1MDB. Malah beliau persoalkan kenapa masalah yang dilakukan oleh orang lain, beliau terpaksa menyelesaikannya.
Setidak-tidaknya media prokerajaan kalaupun mahu menyokong sesiapa juga atau menurut perintah untuk menyerang Ahmad Husni, biarlah bijak menepis hujah beliau.
Rakyat sedang menilai siapa pemimpin yang baik dan siapa pula kaki bodek dan mengharapkan jawatan menteri atau sebagainya untuk menyambung nyawa.
Ahmad Husni bukan menteri teruk yang bercakap tanpa substance atau ikut sedap mulut, tidak pakai otak.
Dia adalah menteri yang menunjukkan KPI (indeks prestasi utama yang terbaik di kalangan menteri-menteri dengan melebihi 100 peratus.
Kenapa orang sebegini diserang begitu teruk malah,  dua hari selepas beliau berhenti, media sosial prokerajaan menyerang beliau  tanpa sebarang sebab.
"Saya tahu siapa 'A', 'B' dan 'C" yang menyerang saya. Mengapa bermain-main? Marilah cintakan rakyat. Kita bekerja untuk rakyat," demikian kata Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun.
Ahmad Husni dihormati bukan sahaja selepas menjadi menteri tetapi sejak menjalankan tugasnya dengan Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (ketika itu dikenali sebagai Kelab Penyokong Kerajaan - BBC) lagi.
Sebagai pemimpin yang setia dan profesional, Ahmad Husni tidak banyak bercakap mengenai orang lain yang dalam UMNO dan BN.
Kenapa ada pertikai niat beliau mahu mendalami ilmu agama dan menegakkan keadilan demi rakyat melalui isu 1MDB ini?
Malah beliau turut mengemukakan pertanyaan lain yang sepatutnya di jawap oleh Perdana Menteri atau menteri yang berkaitan dengan soalannya.
Media prokerajaan dan proUMNO tidak wajar menjawab persoalan yang dibangkirkan Ahmad Husni secara mengutuk, menghina dan cuba mengaibkan beliau dengan isu-isu yang cuba dialih daripada menjawab perkara sebenar.
Beginikah peranan media prokerajaan dan UMNO yang mahu mempengaruhi rakyat untuk memenangkan BN dan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang?
Jika Ahmad Husni seorang professional dan antara menteri terbaik, apakah media prokerajaan dan UMNO memainkan peranannya sebagai media terbaik untuk setanding (at par) dengan Ahmad Husni?
Apakah pengamal media prokerajaan setanding Ahmad Husni dalam pemikiran dan analisis sesuatu perkara?
Jelas, Ahmad Husni tidak ‘membuka rahsia’ apabilla berucap, sekadar mengemukakan persoalan yang mungkin sedikit luar biasa tetapi masih tidak melampaui batas.
Dia mungkin ada banyak rahsia tetapi sifatnya yang tidak suka mengatakan soal peribadi orang lain membolehkannya fokus kepada isu semata-mata.
Dengan sifatnya seperti itu kenapa media sosial prokerajaan dan UMNO bertindak di luar batasan dengan berbagai cara untuk menghina Ahmad Husni dan keluarganya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA