Isnin, 24 Oktober 2016

Antara ‘sinis’ Bajet 2017 dan pembangkang keluar Dewan Rakyat

Sejauh mana tindakan keluar tidak menghormati institusi Parlimen dan adakah ucapan “sinis” perdana menteri semasa pembentangan bersesuaian peruntukan peraturan mesyuarat Dewan rakyat.
bajet-2017
Oleh Fakhrurrazi Rashid
Pembentangan Bajet 2017 seharusnya menjadi cerita sejarah yang menggemparkan negara. Gaya dan pendekatan Datuk Seri Najib Razak yang tidak mempunyai semangat “negarawan” dalam membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat menyaksikan ahli Parlimen di kerusi pembangkang keluar dewan.
Tindakan ini mendapat respons pantas dengan pelbagai reaksi daripada rakyat. Semua berkisar tentang tindakan tersebut melampaui adab di Parlimen. Menariknya, Najib juga mengambil kesempatan dengan ungkapan sinis mempersendakan tindakan pembangkang di media arus perdana selepas selesai belanjawan dibentangkan.
Namun, sejauh manakah tindakan ahli Parlimen keluar Dewan Rakyat ini tidak menghormati institusi Parlimen? dan adakah ucapan “sinis” perdana menteri semasa pembentangan itu bersesuaian dengan peruntukan peraturan mesyuarat Dewan rakyat?
Urusan pembentangan bajet negara
Pembentangan belanjawan negara mendapat liputan dan disiarkan secara langsung oleh media arus perdana. Inilah satu-satunya peluang rakyat untuk melihat salah satu proses dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia secara langsung di kaca televisyen dan radio. Pembentangan belanjawan negara diadakan pada setiap Oktober, berbeza dengan amalan Parlimen Britain dan Singapura yang membentangkan belanjawan pada awal tahun, iaitu pada Mac.
Sebenarnya, hari pembentangan belanjawan merupakan satu-satunya hari perdana menteri “rajin” hadir ke Parlimen. Tetapi, jika diungkai kedatangan Najib ke Parlimen sepanjang sesi Dewan Rakyat bersidang, maka jelas kehadirannya di Parlimen tidak memberangsangkan dan boleh dikira dengan jari.
Seharusnya, seorang perdana menteri perlu hadir ke Parlimen dalam menjawab pertanyaan ahli Parlimen, khususnya pembangkang mengenai dasawarsa dan isu negara.
Perkara ini sudah termaktub dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan tanggungjawab perdana menteri dan Kabinetnya ke atas Parlimen. Tetapi, fasa Perlembagaan Persekutuan ini seolah-olah tidak wujud dalam memberi tekanan kepada perdana menteri hadir dan menjawab segala masalah negara di Parlimen.
Mekanisme kerajaan menggunakan ruang awam, yakni di luar Dewan Rakyat, dalam menjelaskan isu negara seperti rasuah, kelembapan ekonomi negara dan skandal 1MDB oleh kerajaan ternyata tidak mampu mewujudkan satu perbahasan yang sihat.
Parlimen merupakan institusi yang tepat dalam menjelaskan kritikan yang dilontarkan oleh orang awam dan pembangkang. Itulah fungsi parlimen yang merupakan sebuah institusi perwakilan rasmi yang mempunyai peranan dan garis panduan rasmi dalam menentukan setiap keputusan penting buat negara dan rakyat.
Dalam erti kata lain, perdana menteri perlu hadir ke Parlimen menjawab tohmahan pembangkang mengenai isu yang terpaut di bahunya dan Kabinet. Proses ini bersesuaian dengan peranan Parlimen untuk menyemak dan mengimbangi gerak kerja perdana menteri dan Kabinet mentadbir urus negara.
Najib perlu mencontohi tindakan dan tanggungjawab dipersembahkan David Cameron, bekas perdana menteri Britain yang hadir di House of Commons (Parlimen di Britain) bagi menjawab isu dibongkar Panama Paper’s tentang kepentingannya memiliki dana syarikat luar pesisir yang diasaskan bapanya, Ian Cameron.
David menjawab skandal dana itu di hadapan Ketua Pembangkang Jeremy Corbyn daripada parti Buruh dan ahli Parlimen pembangkang pada Isnin, 11 April 2016. Malah, perbahasan selama sejam 27 minit ini akhirnya menyelesaikan isu tersebut dengan memperkenalkan dasar baharu. Mudah bukan?
Jika Najib mengambil komitmen untuk hadir Parlimen menjawab pertanyaan mengenai masalah negara daripada pihak pembangkang, tentunya ia akan mencipta satu kekuatan luar jangkaan dalam menyelesaikan isu negara dan rakyat.

Malah, ia akan mencambahkan lagi kedaulatan sistem demokrasi berparlimen Malaysia dengan menghormati wakil rakyat yang sah dan mempunyai legitimasi mewakili rakyat Malaysia. Soalnya, mengapa perdana menteri hingga kini tidak menggunakan Parlimen untuk menjawab isu negara seperti yang digunakannya ketika membentangkan belanjawan negara?
Dalam isu ini juga, speaker Dewan Rakyat gagal mempamerkan keupayaan bersikap saksama dalam membuat keputusan ketika insiden berlaku. Dalam banyak keputusan yang boleh dibuat, soalnya mengapa speaker mengambil keputusan “mudah” mempersilakan ahli pembangkang keluar Dewan Rakyat sedangkan kuasa untuk menguruskan masalah itu boleh dijelaskan dengan membuat keputusan berdasarkan konvensi dan peraturan mesyuarat.
Perdana menteri perlu bersikap negarawan dengan meletakkan pembentangan belanjawan lebih utama daripada permainan retorik politik yang hanya mencemarkan Dewan Rakyat.
Namun, isu yang tidak berkenaan dengan belanjawan negara dipertaruhkan ketika rakyat dan warga dunia memerhati persidangan Dewan Rakyat.
Timbul persoalan asas, mengapa speaker tidak menghentikan ucapan provokasi dan menasihati perdana menteri menghentikan ucapan provokasi tersebut? Malah speaker pula seiring dengan pandangan perdana menteri dengan mempersilakan ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat.
Peraturan Mesyuarat 36 (6) Dewan Rakyat jelas menghalang ahli Parlimen membuat sangkaan jahat dan atas fasa yang sama juga ahli Parlimen perlu menggunakan perkataan sopan ketika membentangkan sesuatu rang undang-undang.
Teguran speaker ke atas perdana menteri bukan perkara asing di negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Speaker Parlimen Britain, John Bercow dengan tegas menegur tindakan David yang tidak menjawab soalan ahli Parlimen pembangkang John Cyre ketika sesi pertanyaan perdana menteri.
Bercow sebagai speaker menempelak David yang tidak menjawab pertanyaan Cyre mengenai kos tribunal pekerja tetapi sebaliknya memperlekeh dan memperli kesatuan pekerja yang semakin lemah.
Lebih serius lagi apabila Speaker Parlimen New Zealand David Carter mengusir keluar Perdana Menteri New Zealand John Key atas kedegilannya yang enggan duduk selepas diarahkan speaker.
Jadi, apakah yang menghalang speaker Dewan Rakyat membuat perkara yang sama menegur bahasa provokasi perdana menteri ketika Bajet 2017 dibentangkan? Adakah ini menandakan perdana menteri lebih berkuasa daripada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat?
Menjelang perbahasan Bajet 2017
Rumusannya, tindakan keluar Dewan Rakyat pada pembentangan Bajet 2017 tidak akan berlaku sekiranya perdana menteri dan speaker menunjukkan kejituan mereka dalam salah satu proses penting di Parlimen.
Oleh itu, sistem demokrasi berparlimen Malaysia masih di tampuk kurang matang dan amalan “rubber-stamp” yang tidak berfungsi untuk membahaskan kemaslahatan rakyat dan negara.
Selama 2 minggu diberikan kepada ahli Parlimen untuk membahaskan Bajet 2017. Perhatian teliti perlu diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang yang bertanggungjawab mengkritik belanjawan itu berasaskan hujah dan asas baik demi menjaga kepentingan rakyat.
Inilah masanya pembangkang mengambil serius tanggungjawab mereka selepas membuat keputusan untuk keluar dari Dewan Rakyat ketika belanjawan dibentangkan.
Pakatan Harapan perlu ingat, setiap tindakan yang diambil, terletaknya tanggungjawab dan amanah melaksanakannya. Sesi perbahasan ini merupakan susulan terbaik untuk Pakatan Harapan membuktikan tindakan keluar itu tidak mengecewakan rakyat.
Harapan saya agar perdana menteri hadir ke Parlimen mendengar perbahasan Bajet 2017, khususnya perbahasan ketua pembangkang. Sekiranya tidak, amatlah malang kerana Malaysia mempunyai perdana menteri yang lari dan tidak mendukung kedaulatan Dewan Rakyat yang diangkat Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA