Khamis, 20 Oktober 2016

Akta MKN rampas kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong


Akta Majlis Keselamatan Negara berhubung kuasa pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri dikritik pelbagai pihak.Akta Majlis Keselamatan Negara berhubung kuasa pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri dikritik pelbagai pihak.
Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara (Amanah) menyelar kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menganggap Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN) tidak mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Timbalan Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, kenyataan Apandi seperti dilaporkan media 17 Oktober lalu adalah menyentuh kuasa YDPA untuk mengisytiharkan darurat negara selaras dengan peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
"Kanun mempersoalkan apa bezanya peruntukan Perkara 150 tersebut dengan kuasa untuk mengisytiharkan darurat oleh Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 18 Akta MKN?
"Bukankah itu satu pertindihan kuasa dan juga boleh dilihat sebagai percubaan untuk merampas kuasa eksklusif YDPA?" soalnya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Anwar, pihaknya turut keliru dengan dakwaan Apandi yang menyebut bahawa perisytiharan darurat oleh Perdana Menteri hanya terpakai terhadap "satu kawasan atau kawasan-kawasan tertentu" sahaja.
Padahal, ujarnya, Seksyen 2 Akta MKN juga langsung tidak mendefinisikan maksud "kawasan-kawasan tertentu" tersebut.
"Sekali lagi bukankah ianya juga boleh terus menjejaskan situasi pertindihan kuasa tersebut?" tegasnya.
Beliau juga menyatakan pihaknya meragui mekanisme semak dan imbang (check and balance) dalam proses perisytiharan darurat oleh Perdana Menteri.
Hal ini memandangkan  walaupun Peguam Negara mendakwa Perdana Menteri bertindak atas nasihat ahli MKN, tetapi lima daripada lapan ahli MKN adalah menteri-menteri yang merupakan ahli-ahli politik BN mengikut Sekyen 6 Akta MKN.

Tambahnya lagi, mengikut Seksyen 8(3) Akta MKN, keanggotaan MKN adalah seramai lima orang sahaja.
"Bukankah keputusan-keputusan yang akan dibuat oleh MKN nanti boleh jadi suatu keputusan yang dibuat oleh ahli politik semata-mata dan juga akan dipengaruhi oleh unsur-unsur politik?" soalnya.
Sehubungan itu, Wan Anwar menegaskan sekali lagi pendirian pihaknya bahawa Akta MKN adalah satu akta yang tidak sah kerana jelas menggugat kuasa YDPA.
Pada masa sama, tambahnya lagi, akta tersebut harus dimansuhkan memandangkan turut terdedah kepada salah guna oleh pemimpin-pemimpin politik kerajaan Umno-BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA