Rabu, 19 Oktober 2016

Ahli Parlimen BN: Bajet pembangkang tidak realistik, hanya populis

Shamsul Anuar dan Irmohizam berkata, Belanjawan Alternatif tidak menyatakan secara teliti dari mana kerajaan hendak mendapatkan sumber pendapatannya.
johari-alternative-budget-gst-1
KUALA LUMPUR: Belanjawan Alternatif 2017 Pakatan Harapan tidak realistik dan hanya bersifat populis, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, cadangan pembangkang termasuk penambahbaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ‘berkadar sifar’ akan menyebabkan negara kehilangan sumber pendapatan dan berdepan krisis ekonomi.
“Senaraikan kepada saya pengganti kepada hasil GST, daripada mana mereka mahu mendapatkan kembali hasil yang sudah hilang itu,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, cadangan menghapuskan GST akan menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan lebih RM30 bilion setahun.
Selain itu, katanya, cadangan menaikkan kadar gaji minimum RM1,000 kepada RM1,500 dan pemberian subsidi RM250 daripada kenaikan itu, turut akan membebankan kewangan negara.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, belanjawan itu hanya bersifat populis dan retorik.
Beliau berkata, pembentangan Belanjawan Alternatif itu tidak menyatakan secara teliti sumber pendapatan diperolehi.
“Seperti biasa, ia merupakan bajet populis sahaja, bajet yang hanya dibuat untuk menguar-uarkan, bagi membolehkan rakyat menerima mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, Belanjawan Alternatif itu hanya ingin ‘menggula-gulakan’ rakyat dengan falsafah yang cuba ditonjolkan, namun tidak menyatakan sumber pendapatan diperolehi.

“Misalnya, apabila mereka ingin mencadangkan soal pertanian, mereka menerangkan falsafah tentang kaedah bagaimana ia dilaksanakan, namun yang paling penting di manakah asas bajet itu,” katanya.
Beliau berkata, apabila sesuatu belanjawan itu diperkenalkan, ia memerlukan pertimbangan sewajarnya, termasuk jumlah pendapatan dan perbelanjaan.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berkata, buku Belanjawan Alternatif itu sendiri menunjukkan tiadanya tahap profesional pakatan pembangkang.
“Muka depan buku belanjawan pun menunjukkan orang berdemonstrasi, jadi adakah bajet itu dibuat dengan terperinci?” soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA