Rabu, 26 Oktober 2016

Adun PKR dakwa didatangi pelacur di Kota Bharu

Mohd Roslan Puteh mendakwa aktiviti pelacuran masih berlaku di Jalan Hamzah selepas beliau ditawarkan khidmat seks apabila kenderaan yang dinaikinya didekati sekumpulan wanita.
roslan-puteeh
KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini “panas” apabila seorang ahlinya mendakwa aktiviti pelacuran masih berlaku di bandar ini walaupun setelah lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan dengan dasar “Membangun Bersama Islam”.
Mohd Roslan Puteh (PKR-Guchil) mendakwa aktiviti itu masih berlaku di Jalan Hamzah di sini selepas beliau ditawarkan khidmat seks apabila kenderaan yang dinaikinya didekati sekumpulan wanita.
Beliau berkata wanita berkenaan, yang menaiki sebuah kereta berbuat demikian sejurus beliau membayar bil telefon bimbitnya menggunakan mesin layan diri pada 12.45 tengah malam tadi.
“Masih ada wanita tawar perkhidmatan tak sepatutnya walaupun dah lebih 20 tahun (PAS memerintah Kelantan). Ada 4 wanita (yang tawar khidmat seks).
“Saya terserempak (dengan mereka) selepas bayar bil telefon,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2017 Kelantan pada persidangan dewan itu di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Hassan Mohamood (PAS-Tawang) bangun mencelah perbahasan itu dengan mengatakan dakwaan Roslan tidak mempunyai bukti kukuh dan mencurigakan.
Beliau berkata sudah tidak ada lagi sarang pelacuran di negeri ini selepas ia dibanteras agensi berkaitan.

Namun, Roslan tetap mempertahankan dakwaannya itu dengan berkata perkara itu sangat mencurigakan kerana seorang wanita selalunya berada di rumah dan tidak berpeleseran selepas jam 12 tengah malam.
“Mereka (wanita) sepatutnya berada di rumah tapi kalau berpeleseran di bawah pokok di satu kawasan yang sejak 40 tahun dulu (terkenal dengan aktiviti pelacuran), sebagai umat Islam bagi saya keadaan itu mencurigakan.
“Saya boleh jadi pemandu kepada exco berkaitan untuk tinjau tempat tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA