Ahad, 23 Oktober 2016

2017: Tiada peruntukan pembangunan Persekutuan untuk Selangor

Pemotongan Belanjawan Persekutuan sekitar 18 peratus terhadap belanja pembangunan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka turut mempengaruhi pembangunan Kerajaan Persekutuan di Selangor.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keadaan itu sekali gus menujukkan ketidaksungguhan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Umno Barisan Nasional membantu perkembangan pembangunan di Selangor.

“Kalau kita teliti Bajet Persekutuan, hampir mustahil Kerajaan Persekutuan bantu Kerajaan Negeri untuk pembangunan infrastruktur di Selangor.
“Ini jelas perancangan yang tidak bertanggungjawab apabila wujud perancangan pembangunan yang rendah sekadar 18 peratus iaitu sekitar RM46 bilion daripada RM260 bilion pembentangan Belanjawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Loji Labohan Dagang, di sini.
Dalam sidang Dewan Rakyat, Jumaat lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2017 dengan peruntukan RM260.8 bilion iaitu peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Belanjawan 2016.
Daripada jumlah itu, RM214.8 bilion (82 peratus) adalah bagi perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion (18 peratus) pula untuk perbelanjaan pembangunan.
Sebaliknya, Kerajaan Negeri dijangka bakal membentangkan Belanjawan 2017 menggunakan pendekatan secara berimbang terhadap aspek pembangunan dan mengurus.
Jumlah tersebut meliputi 50 peratus bagi perbelanjaan pembangunan dan 50 peratus lagi untuk belanja pengurusan.
Mohamed Azmin bakal membentangkan Belanjawan Negeri, pada 31 Oktober ini yang turut memberi tumpuan kepada pengukuhan martabat ekonomi rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA