Rabu, 26 Oktober 2016

1MDB dan Bajet 2017 saling berkait, kata Muhyiddin

Beliau mempersoalkan, kerajaan yang terpaksa membayar hutang besar 1MDB, adakah mampu memenuhi semua janji yang dibuat dalam Bajet 2017.
muhyiddin 1mdbKUALA LUMPUR: Bajet 2017 mungkin nampak menarik tetapi ia tidak menyelesaikan skandal kewangan 1MDB dan menyebabkan kemampuan kerajaan melaksanakan janjinya dipertikai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas timbalan perdana menteri itu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia-Pagoh) menyentuh mengenai ketiadaan 1MDB dalam bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak di Parlimen, Jumaat lalu.
“Jelas bajet tahun ini dibuat ketika perolehan kerajaan menurun hampir 10% dengan sebab terbesarnya ialah kejatuhan harga dunia,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Bajet 17 hari ini.
“Kesan daripada penurunan perolehan kerajaan, defisit bajet negara naik hampir 4% pada Ogos 2016. Perkara sama berlaku terhadap hutang negara.
“Pada Jun 2016, dilaporkan hutang kerajaan berada pada RM655.7 bilion atau 53.2% daripada KDNK.
“Jika diambil kira hutang 1MDB yang kini lebih RM50 bilion yang sebahagian besarnya dijamin kerajaan, maka hutang kerajaan kepada KDNK kini melebihi had dibenarkan 55%,” katanya.
Muhyiddin yang disingkirkan daripada Kabinet kerana lantang bercakap mengenai isu 1MDB kemudian menekankan ada kaitan antara syarikat itu dengan bajet tahun depan dan ia tidak boleh dinafikan lagi kerana hutang RM53 bilion syarikat itu kini ditanggung kerajaan.
“Persoalannya ialah sama ada kerajaan ada sumber kewangan mencukupi untuk membayar hutang itu?
“Sudah tentu semua liabiliti ini dibayar menggunakan sumber kewangan kerajaan, dana sama yang diagihkan kepada kementerian dan agensi seperti dibentangkan dalam bajet,” katanya.
Beliau kemudian mengucapkan tahniah kepada Najib yang juga menteri kewangan kerana cukup “bijak” mencantikkan sesuatu yang sebenarnya buruk.
Bagaimanapun, Najib memberi amaran kepada Najib supaya tidak memandang rendah kebijaksanaan rakyat yang tidak terpedaya dengan “candu ekonomi” bertujuan mengaburkan mereka.
“Ia hanya tipu helah untuk menutup kelemahan dan kebocoran dalam pengurusan ekonomi negara.
“Rakyat tahu skandal 1MDB sangat menjejaskan kehidupan mereka. Mereka yang masih dalam keadaan penafian ialah menteri, pegawai JASA dan askar siber Umno yang dibayar untuk menyebar penipuan dan terus menipu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA