Rabu, 27 Julai 2016

Apandi: Saya berpegang kepada falsafah Al-Quran

Peguam Negara berkata beliau menjalankan tugasnya secara terbuka dan betul, termasuk dalam kes 1MDB.
apandi-ali_law_600_1
KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata beliau berpegang kepada falsafah Al-Quran yang memerintahkan supaya manusia diadili sama rata tanpa memberi pertimbangan pangkat atau hubungan kekeluargaan.
“Falsafah ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing kepada kita semua kerana ‘menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih… adalah suatu falsafah yang sungguh sinonim dengan fraterniti perundangan sejak sekian lama,” tulis Apandi dalam Berita Harian ini.
Katanya, falsafah Al-Quran itu juga memberikannya inspirasi mencipta slogan baharu Jabatan Peguam Negara, “Bertekad Menegakkan Keadilan.
Apandi menerima kritikan hebat awal tahun ini susulan keputusannya tidak mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam hal sumbangan RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi miliknya, seperti didedahkan The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik penyiasat Malaysia.
Apandi berkata beliau keliru pihak tertentu mengkritiknya.
“Apa saja yang saya lakukan adalah mengikut undang-undang negara. Begitupun, masih ada pihak yang sanggup mengemukakan usul tidak percaya terhadap saya di Dewan Rakyat, mendesak saya untuk meletakkan jawatan, malah mengheret saya ke mahkamah,” katanya dalam tulisannya bersempena setahun memegang jawatan Peguam Negara.
Apandi dilantik tahun lalu menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail, di kemuncak isu membabitkan syarikat milik negara 1MDB yang disiasat bersama peguam negara, Bank Negara Malaysia dan pelbagai agensi kerajaan lain.
Apandi berkata keputusannya diasaskan sepenuhnya kepada bukti yang ada.
“Inilah yang saya lakukan pada 26 Januari lalu, iaitu dengan mengumumkan bahawa berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan yang ada, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan di dalam tiga kertas siasatan berprofil tinggi yang dikemukakan kepada saya,” tulisnya.
Mengenai saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menyita aset berkait 1MDB di negara itu, Apandi berkata tiada sebarang pertuduhan jenayah dikemukakan ke atas mana-mana individu.
“Saya juga menekankan betapa siasatan di peringkat tempatan mengenai perkara ini masih berjalan dan betapa saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding ke atas semua individu yang terlibat dengan perlakuan jenayah sekiranya dapat bukti mencukupi,” kata Apandi.
Apandi turut melahirkan rasa kecewa dengan media yang menurutnya tidak bertanggungjawab dalam laporan mereka.
“Sebab itulah saya sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA