KUALA LUMPUR, 29 Disember:
“Saya satu kerja pun tak ada.”
Itu reaksi Ahli Parlimen BN-Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mempertikaikan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan yang meminta rakyat mencari pekerjaan kedua bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.
Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li, berkata beliau sendiri pun tidak mempunyai pekerjaan yang mana ianya tentu lebih menyukarkan rakyat untuk menuruti saranan menteri itu.
“Masalahnya sekarang ialah tiada peluang pekerjaan, kita kata ada satu kerja tak cukup pendapatan maka kena cari pekerjaan lain pula tambah pendapatan.
“Sebenarnya masalah yang kita hadapi sekarang ialah tak ada pekerjaan. Macam saya, satu kerja pun tak ada,” katanya di dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir Perkasa hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Maslan baru-baru ini yang menyarankan rakyat untuk mendapatkan pekerjaan kedua bagi menampung peningkatan kos sara hidup.
Cadangan Ahli Parlimen Pontian itu mengundang banyak reaksi negatif dari rakyat dan juga netizen yang rata-rata menyifatkannya sebagai satu saranan yang tidak wajar.