KUALA LUMPUR, 28 Disember:
Selepas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan menyatakan dirinya melakukan tiga kerja, kini giliran Harith Iskandar pula bersuara.
Dalam laman Facebooknya, Harith berkata dirinya melakukan enam perkara berbeza dan ini tidak bermakna dia mempunyai enam pekerjaan.
“Saya adalah seorang pelawak, pengacara, penulis, pelakon, jurulatih, pengarah.
“Itu tidak bermakna saya mempunyai enam pekerjaan. Ini bermakna saya lakukan enam perkara yang berbeza,” jelasnya.
Menurut Harith, dalam pandangan dari konteks seorang kakitangan kerajaan boleh mengatakan bahawa dirinya memegang 6 jawatan berbeza.
“Kerja adalah sesuatu yang anda lakukan setiap hari sepanjang hari.
“Jadi bagi seseorang yang mempunyai DUA kerja bermakna mereka bekerja minimum 2×8 jam sehari. Itulah 16 jam waktu bekerja satu hari,” katanya.
Terdahulu, Ahmad membidas kritikan terhadapnya mengenai isu dua kerja dengan menyatakan bahawa beliau sendiri melakukan tiga pekerjaan di dalam parti.
Kenyataan itu dibuat menerusi laman sosial Twitternya yang menjelaskan bahawa beliau juga melakukan tiga pekerjaan untuk menampung kos sara hidup yang tinggi.
“Saya ada 3 kerja: Ahli Parlimen, Timb Menteri,Ketua Penerangan UMNO. Ramai dan di Msia yang buat #2kerja. Berusaha gigih cari rezeki yg halal.
“#2kerja jika kerja sedia ada waktu siang, boleh business online waktu mlm & hujung minggu asal tak jejas prestasi, boleh tambah pendapatan,” katanya.