Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), sudah tidak sabar menantikan pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang baru, bagi menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang bakal menamatkan perkhidmatannya.
Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, Abdul Aziz bakal bersara wajib kerana hampir mencecah usia 66 tahun seperti mana diperuntukkan Perkara 114(3) yang menghadkan tempoh perjawatan di dalam SPR setakat usia tersebut.
“Bersih mengalu-alukan perlantikan Pengerusi SPR yang baru, dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan berharap bahawa tanggungjawab dan mandat yang diberikan akan digunakan ke arah kebaikan dan bukan sebaliknya.
“Sehubung dengan itu, kami rasa terpanggil untuk berkongsi cadangan penambahbaikan institusi yang kami percaya perlu dilaksanakan demi sebuah demokrasi yang sihat di negara yang tercinta ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media berhubung pelantikan pengerusi baru SPR, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Bersih mencadangkan supaya keseluruhan Suruhanjaya tersebut diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bertanggungjawab kepada Parlimen, bukannya kepada mana-mana menteri daripada sayap eksekutif.
“Jawatankuasa Pilihan Khas secara rentas parti wajar ditubuhkan bagi menerima laporan-laporan Suruhanjaya secara berkala demi memastikan kebertanggungjawaban Suruhanjaya kepada Parlimen.
“Kami juga mencadangkan supaya pada masa akan datang sebuah jawatankuasa pemilihan SPR ditubuhkan terdiri daripada pemimpin kerajaan dan pembangkang bagi membuat lantikan berdasarkan pencalonan dan pendengaran awam bebas daripada sebarang pengaruh parti politik.
“Selain itu, kami juga menggesa supaya Penolong Pegawai Pendaftar dari parti politik dipulihkan bagi membantu SPR menjalankan pendaftaran dan semakan pemilih agar tidak terus diperkudakan mana-mana parti politik sepertimana Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) untuk melakukan kerja-kerja propaganda bagi kepentingan politik parti pentadbir,” katanya.