Ucapan penggulungan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak seakan-akan ditulis oleh orang lain.
Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu berkata, cara penulisannya seperti ucapan pemimpin lain.
“Beliau menggunakan perkataan-perkataan yang tidak pernah digunakannya.
“Beliau menggunakan perkataan seperti Wala dan Tahaluf Siyasi yang digunakan orang lain yang saya pernah dengar sebelum ini,” katanya pada majlis pelancaran Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan, hari ini.
Mat Sabu mungkin merujuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, apa yang jelas ialah ucapan Najib tidak ditulis mengikut ‘bahasanya sendiri’.
“Setiap pemimpin ada penulis mereka sendiri, jadi mungkin kali ini beliau ada seorang penulis Islam,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak akan mengulas kerjasama yang mungkin terjalin antara PAS-Umno, kerana itu hak mereka, jika kedua-dua parti itu mahu bekerjasama.
Najib ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno ke-69 yang berakhir semalam, membayangkan parti itu mungkin bekerjasama dengan PAS dan menawarkan peluang berdamai kepada mereka.
Ditanya mengenai hubungan PAS-Umno dan kesannya kepada PH, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata: “Kami akan tanganinya, apabila sampai masanya.”
Rafizi berkata, Umno telah sampai ke tahap tidak boleh patah balik, selepas tindakan memalukan yang dilakukan Presiden Umno kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Najib mengawal perhimpunan itu dengan menghalau Muhyiddin keluar dan ini akan menyebabkan perpecahan ketara dalam Umno.
“Inilah titik tiada patah balik untuk mereka, ia akan menyebabkan kepimpinan Najib terus bergelut, malah ahli akar umbi Umno akan terus meminggirkan Umno.
“Sabotaj dalaman di Umno akan berterusan dan tidak akan ada keamanan untuk mereka selepas ini,” katanya.
Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, ia adalah jelas Najib tidak yakin dengan sokongan yang diberikan kepadanya.
“Jika beliau yakin dengan sokongan akar umbi, beliau akan mengambil tindakan terhadap Muhyiddin dan Mahathir,” katanya.