Khamis, 10 Disember 2015

Jika tolak UMNO, bencana akan menimpa – amaran Najib

Rakyat hanya ada dua pilihan - terima BN yang didominasi UMNO atau pembangkang yang didominasi DAP.
najibKUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada memilih Barisan Nasional (BN) yang didominasi UMNO atau pakatan pembangkang yang didominasi DAP yang didakwa anti perjuangan Islam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seandainya rakyat Malaysia menolak UMNO, negara ini akan diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.
“Bencananya yang akan menimpa. Apakah kita mahu masa depan anak dan cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah…” katanya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC.
Najib berkata, kerajaan Malaysia tidak akan mengamalkan sistem dua parti walaupun walaupun negara mengamalkan sistem demokrasi.
Beliau merujuk kepada kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyifatkan tidak ada satu parti sahaja yang dapat kekal memerintah buat selamanya.
Najib berkata, sistem dua parti seperti yang diperkatakan Dr Mahathir itu hanya akan membahayakan negara.
“Mana boleh perkara ini kita terima? Bukan atas dasar kita tidak faham pengertian demokrasi, tetapi dari sudut falsafah dan perjuangan UMNO itu sendiri yang memartabatkan bangsa dan mempertinggikan syiar Islam.
“Saya ingin bertanya kepada perwakilan dan ahli UMNO semua, takkan kita tidak faham akan bahayanya, akibat seruan yang tidak bijaksana itu?,” katanya.
Tegas Najib, beliau tidak akan memberi ruang kepada mana-mana individu tertentu untuk melaksanakan sistem dua parti ini, sekali gus mengingatkan perwakilan agar lebih berwaspada.
“Jangan sampai kita tersilap langkah, jangan sampai kita terjun ke dalam perangkap ini,” katanya.

Muhyiddin perlu diberi peluang bela diri, kata perwakilan

Beberapa perwakilan Umno berkata serangan Datuk Seri Najib Razak secara terbuka kepada pengkritiknya tidak adil apabila mereka tidak diberi peluang membela diri. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Disember, 2015.
Beberapa perwakilan Umno menyifatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang menyerang pengkritiknya secara terbuka dalam ucapan perasmian pagi ini sebagai tidak berlaku adil apabila tidak memberi peluang kepada mereka membela diri.Najib hari ini menyerang pengkritiknya dengan mengingatkan mereka tugas timbalan presiden dan naib presiden adalah membantu presiden.
Ia susulan kecaman Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perhimpunan awal minggu ini yang meminta perdana menteri berehat seketika.

“Muhyiddin sudahlah tidak diberikan peluang berucap, macam mana beliau nak bela diri?” soal seorang perwakilan dari Selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar. Dalam perhimpunan kali ini, Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan tidak membenarkan Muhyiddin merasmikan mesyuarat sayap yang menjadi tradisi parti, malah naib presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga dinafikan haknya.
Shafie turut digugurkan daripada Kabinet bersama-sama dengan Muhyiddin kerana secara terbuka mengkritik Najib.
Hamidi juga menyatakan kekecewaannya apabila nama Muhyiddin dan bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai ayahanda kepada akar umbi, juga tidak diumumkan semasa dalam dewan ketika Najib menyampaikan ucapan.
“Nama Tun M (Dr Mahathir) pun tidak sebut... Apa ni?” soalnya.
Pemerhati Umno dari Sepang, Rushdan Mohamed pula berkata, ucapan Najib tidak boleh diterima kerana langkah beliau yang menyekat pucuk pimpinan lain daripada berucap.
"Beliau suruh orang bercakap, tapi apabila bercakap, beliau mahu tutup mulut orang itu. Macam tu? Biarlah beliau cakap puas-puas.
"Apa yang beliau (pemimpin) cakap tidak penting, tapi saya lebih risau dengan apa yang rakyat sedang cakap sekarang," kata Rushdan, yang juga ketua Umno Cawangan Rista Villa Perdana.
Sementara itu, seorang pemerhati lagi, Kamarul Azman Habibur Rahman, menyifatkan Najib sudah hilang fokus memajukan kaum Melayu dan hanya memikirkan cara kekal berkuasa.

Perwakilan Kelantan serang Mahathir, Muhyiddin

Perwakilan Kelantan membuka langkah dalam perhimpunan agung Umno dengan menyerang Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad.
Datuk Md Alwi Che Ahmad, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, mendakwa kekalahan Umno di Kelantan berpunca daripada pergaduhan Mahathir dan wakil rakyat Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
“Tun Mahathir kena ingat, tahun 1987 bergaduh, tahun 1990 kita dapat kosong (kerusi dewan) dan tidak bangkit-bangkit.
“Sehingga tahun 2004 hampir bangkit, kita memperoleh 22 kerusi, kurang satu kerusi untuk memerintah, tapi tak bangkit (juga).
“Tapi saya ingat 2008 kita boleh bangkit tetapi Tun Mahathir balun lagi.
“Dia balun Umno, dia balun perdana menteri, dia balun kita semua, akhirnya kita hilang majoriti dua pertiga pada 2008,” katanya.
Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan pernah mencabar Mahathir sebagai presiden Umno pada 1987 tetapi kalah tipis.
Pergaduhan itu membawa kepada pengharaman Umno. Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 dan Mahathir pula dengan Umno (Baru).
Tengku Razaleigh bagaimanapun kembali ke pangkuan Umno.
Sementara itu, Alwi (gambar) turut mengingatkan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggunakan platform yang betul apabila menyuarakan pandangannya.
“Bang (azan) mesti dalam masjid.
“Saya ingat Tan Sri silap sikit saja, dia pergi bang bukan dalam masjid, dia bang dekat Pandang Merbok,” katanya berkias.

Datuk Seri lupa cakap pasal 20 juta Melayu yang lain!

Obses dengan perjuangan UMNO selama 69 tahun yang lalu dan 40 tahun penglibatannya dalam politik kepartian, Presiden UMNO mungkin terlupa untuk berkongsi hala tuju masa depan parti dan kaum Melayu yang lain dalam ucapan perasmiannya.
najib,malaysia
Saya bukan ahli UMNO. Ternyata bukan kerana saya menyokong pembangkang. Saya bukan ahli mana-mana parti pembangkang jua. Di sebalik pendirian saya tidak menyokong mana-mana parti, saya bukan ahli UMNO kerana saya bukan Melayu-Islam.
Tetapi sejak awal tahun ini, saya mula mengikuti rapat perkembangan parti politik Melayu, UMNO yang bakal menyambut ulangtahun ke-70 pada Mei tahun hadapan (2016). Sekali lagi bukan kerana obses dengan UMNO tetapi itu keperluan tugas hakiki saya selaku seorang penulis dan pembantu penyunting.
Walaupun baru berjinak, saya cukup ghairah melihat perkembangan politik dan sandiwara dalaman yang semakin hari semakin mengujakan, sehinggakan saya hilang minat pada parti politik terbesar kaum saya sendiri iaitu MIC.
Apa sahaja yang berlaku dalam MIC tak sampai 10 peratus pun daripada apa yang berlaku dalam UMNO. Jadi terdorong juga saya untuk mengikuti perkembangan UMNO hingga ke acara kemuncak pada hari ini: upacara perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 yang dirasmikan oleh presiden parti yang juga Perdana Menteri, Mr.Gentleman, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malangnya, sebagai sebuah parti yang memperjuang hak dan semangat Melayu, saya tidak melihat atau mendengar apa-apa tentang kaum Melayu, tetapi ia lebih kepada seorang Melayu bernama Najib. Atau mungkinkah cukup sekadar bercakap tentang seorang Melayu untuk mewakili semua yang lain?
Sepanjang-panjang ucapan rasmi Najib tidak lari ke mana kecuali berdampingan dengan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Dengan turun naik suaranya yang penuh berirama dan dramatik, diselang-seli dengan rujukan surah al-Quran, speaking sana sini, tidak lupa juga mengingatkan semua akan darah Bugisnya, semua perkara yang dikongsikan dalam ucapan perasmian tidak menjurus kepada perancangan masa depan atau hala tuju parti untuk kaum Melayu di negara ini, sekadar memetik perkara yang sudah berlalu dan telah berlaku.

Zahid sahkan dana asing RM2.6b bukan dari seorang penderma

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengesahkan bahawa sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak datang daripada lebih seorang penderma.
Ditanya sama ada ia penderma atau penderma-penderma, Zahid berkata: “Jamak”.
Zahid sebelum ini berkata beliau sudah menemui seorang penderma.
Kekeliruan dalam isu derma ke akaun perdana menteri terus berpanjangan apabila timbul persoalan mengenai jumlah penyumbang yang didakwa dari Timur Tengah itu.
Dalam temubual dengan akhbar The Star yang diterbitkan hari ini, Najib sekali lagi mendakwa dana itu diterima daripada lebih seorang penyumbang yang mempunyai hubungan peribadi dengannya.

Umno bertakbir ajak PAS bekerjasama

Dakwa DAP tidak setia, dua kali cerai parti sekutu
najib_pas_umno_600
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini secara terbuka mengajak PAS untuk bekerjasama dengan parti pemerintah itu atas dasar membina Malaysia di atas syariat Islam.
Najib ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis memuji keputusan PAS meninggalkan “Pakatan Pembangkang”.
“Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali‎ silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya,” katanya dalam ucapan dasar beliau hari ini.
Ucapan beliau itu mendapat tepukan gemuruh ribuan delegasi Umno hari ini yang spontan melaungkan takbir “Allahuakbar!”
Najib menyentuh perhubungan dingin dan retak antara PAS dan DAP di negeri yang dikuasai mereka dan menyatakan parti pemerintah Pulau Pinang itu sebagai tidak pernah setia dengan rakan sekutu mereka selama ini.
“Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun 1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah lagi.
“Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah tiga kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak dengan Pakatan Harapan, tak taulah pulak talak berapa nak pakai nanti,” kata Presiden Umno itu.
Najib turut mengutuk Pulau Pinang yang didakwanya menzalimi orang Melayu sehingga ADUN Penanti dari PKR mengalirkan air mata di Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
“Ini tidak pernah berlaku ketika pemerintahan BN.
“Realitinya, siapa yang zalim sebenarnya? Tepuk dada, tanyalah selera,” kata beliau during tepuk sorak delegasi yang memenuhi dewan dan ruang legar PWTC.

Najib ‘terdesak’ tawarkan kerjasama, kata pemimpin PAS

Datuk Seri Najib Razak kelihatan sangat terdesak apabila terpaksa secara terbuka menawarkan kerjasama kepada PAS bagi menjamin kedudukannya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN), kata wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar. Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa, tawaran Najib yang dikatakan bertujuan "menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat-Nya" itu dilakukan kerana Umno tidak memikirkan lagi undi orang bukan Islam. "Ini kerana, bagi saya, Najib rasa BN tidak berupaya lagi mendapat lebih 20% undi bukan Islam," katanya. Daripada 'bahasa badan' dan kenyataannya, jelas menunjukkan mereka mahu melonjakkan undi Melayu melalui bekerjasama dengan PAS, kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider. Bekas ketua penerangan PAS itu berkata, Umno tidak mahu membiarkan undi Melayu pecah kepada 3 iaitu Umno, Pakatan Harapan dan PAS jika dibiarkan parti Islam itu bersendirian. "Saya yakin, PAS tidak akan sertai Pakatan Harapan walaupun dipujuk PKR. Dan akhirnya PKR terpaksa pilih Pakatan, bukannya PAS. "Ini kerana, kalau sertai Pakatan, orang akan dakwa PAS hipokrit, selepas sekian lama menolaknya," kata Mahfuz mengulas fenomena yang berlaku sekarang.

Umno hulur tangan kepada Pas

KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak‎ hari ini menghulurkan "tali silaturahim" kepada Pas untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
Najib, yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana Pas tidak ‎lagi bersama pakatan pembangkang selepas 'disepak dan diterajang keluar' oleh‎ rakan-rakan pembangkangnya.
Najib "Maka saudara dan saudari...kita di dalam Umno, berasa lega, malah gembira, pabila Pas kini tidak lagi bersama dengan parti pembangkang.
"Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali‎ silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya," katanya dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Walaupun Umno mendambakan perpaduan ummah namun Najib menegaskan, apa yang paling utama dan paling mustahak adalah untuk menyokong kesatuan serta solidariti dalam Umno itu sendiri terlebih dahulu.
Pertelingkahan secara terbuka di antara Pas dengan rakan-rakan PR terutamanya DAP berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya di negeri-negeri diperintah pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang.
Hubungan Pas dengan rakannya dalam PR semakin meruncing berikutan penubuhan parti Amanah yang diterajui bekas-bekas pemimpin parti itu yang mendapat sokongan kuat DAP.
Baru-baru ini, Pas mengisytiharkan parti itu sebagai parti pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan negeri itu yang dipimpin DAP memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kalangan ahli Pas.
Sementara itu, menyentuh kepada kenyataan individu tertentu yang mahukan negara menjurus kepada sistem dua parti, Najib dengan tegas menyatakan ia tidak akan berlaku dan Umno tidak akan menerimanya.
"Mana boleh...Mana boleh perkara ini kita terima," katanya dan menambah, Umno tidak akan menerima seruan itu bukan atas dasar ia tidak faham pengertian demokrasi tetapi "seruan tidak bijaksana" itu berbahaya.

‘Kalau gila sangat nak berucap, buat sekali lagi di Kg Baru’ kata Zabidi

Muhyiddin boleh memberikan ucapan penggulungan dihadapan orang ramai dan bukannya kepada para perwakilan UMNO.
muhyiddin,PAU
PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan supaya mengadakan satu lagi majlis di Dewan Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru sebagai pentas untuknya membuat ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015.
Sindiran itu dibuat oleh penulis blog, Awang Zabidi sebagai reaksi terhadap Muhyiddin dan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Shafie Apdal apabila rayuan mereka berdua untuk berucap pada perhimpunan itu ditolak oleh pihak Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
“Orang politik memang pantang lihat mikrofon. Mesti nak berucap. Oleh kerana Muhyiddin masih nak berucap apa salahnya beliau sekali lagi buat majlis di Dewan Kelab Sultan Sulaiman pada hari Sabtu malam.
“Kalau Isnin lalu beliau boleh buat majlis kerana tidak diberi peluang merasmikan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO, apa salahnya beliau buat majlis pengulungan khas Timbalan Presiden UMNO mengulas isu yang dibangkitkan oleh para perwakilan,” tulisnya pada entri terbaru di blog catatanzabidi.blogspot.my pada Khamis.
Zabidi turut menjangkakan ramai yang akan hadir jika Muhyiddin memberikan ucapan penggulungan itu nanti dengan jumlah kehadiran bukanlah daripada para perwakilan UMNO.
“Kalau gila sangat nak berucap, buatlah majlis pengulungan itu di Kampung Baru sekali lagi,” tulis Zabidi lagi.

JANGAN SUSAH HATI - INI PELUANG MUHYIDDIN, SHAFIE BUAT SATU LAGI HIMPUNAN BERASINGAN

Mesyuarat khas MT semalam sah membuat keputusan hanya Najib Razak seorang saja dibenarkan berucap pada majlis penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 tahun ini.

Bermakna, tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya yang biasanya menampilkan seorang atau dua ahli MT, ketua-ketua sayap, Naib-Naib Presiden, Timbalan Presiden dan akhirnya sekali oleh Presiden untuk memberikan ucapannya, tahun ini tiada pemimpin lain diberi ruang berucap sebegitu rupa.

Merasmikannya Najib dan menutupnya pula hanya Najib. Tidak ubah PAU tahun ini diadakan semata-mata untuk Najib.

Keadaan ini berlaku tidak lain kerana wujudnya perbezaan pendapat antara Najib dengan Muhyiddin dan Shafie berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang menyebabkan kedua-duanya diketepikan daripada kerajaan.

Dalam mesyuarat khas MT semalam, walaupun Muhyiddin dan Shafie membuat rayuan agar mereka dibenarkan menyampaikan ucapan sebagaimana biasa, tetapi ia tetap ditolak.

Ia akhirnya mengesahkan tanggapan Muhyiddin bahawa beliau hanyalah ibarat tunggul saja dalam perhimpunan tahun ini.

Sebelum ini, dengan tujuan untuk menyekat suara Timbalan Presiden itu, Muhyiddin juga dilarang daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

'Apa saya minta dari Najib untuk negara, rakyat' - Mahathir

1.​NAJIB mendakwa bahawa sebabnya saya tidak sokongnya ialah kerana saya tidak dapat apa yang saya minta.
Mahathir Mohammad 2.​Bagi diri saya tidak ada apa pun yang saya minta. Tawaran kerajaan untuk memberi percuma tanah di Putrajaya di waktu saya letak jawatan, seperti kepada bekas Perdana Menteri yang lain, pun saya tolak. Saya minta untuk membeli tanah di Putrajaya dan saya bayar satu juta untuk sekeping. Duit ini dari tabung simpanan saya selama 29 tahun dalam kerajaan. Tak hutang.
3.​Hadiah yang diberi kepada saya semasa dalam kerajaan saya pulangkan balik. Semua boleh dilihat di Galeria Langkawi dan kediaman PM lama di Jalan Terengganu, off Jalan Damansara.
4.​Yang saya minta dari Najib ialah untuk negara dan untuk rakyat. Semuanya ditolak tetapi dalam PRU13 saya masih sokong Najib. Walaupun saya menyatakan Najib harus berhenti jika pencapaiannya dalam PRU13 lebih buruk dari Abdullah dalam PRU 12, setelah kemenangannya dalam PRU13 lebih buruk dari Abdullah saya masih terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri.
5.​Hanya apabila rahsia hutang dan kerugian 1MDB terbongkar barulah saya tarik sokongan saya daripada Najib.
6.​Kalau kerana jambatan tidak dibina, sudah lama saya berhenti dari menyokongnya. Kalau kerana landasan berkembar elektrik tidak dibina dari Johor Bahru ke Padang Besar, sudah lama saya hentikan sokongan saya kepada Najib. Bukan kerana tidak layan permintaan saya untuk negara pun yang saya tarik sokongan saya dari Najib.
7. ​Najib biasa datang jumpa saya untuk bertanya apa yang saya hendak. Saya fikir ia ikhlas dan saya pun sebut beberapa projek pembangunan untuk negara. Kemudian saya sedar ia sedang mencuba sogok saya dengan cara ini supaya saya tidak bangkit soal 1MDB.
8. ​Tetapi kehilangan wang kerajaan terlalu besar. Hanya kerana melayan saya tidak boleh dijadikan alasan bagi saya pejam mata berkenaan kehilangan duit kerajaan berbillion-billion. Oleh itu saya teruskan juga membangkitkan soal 1MDB. Apatah lagi apabila RM2.6 billion tiba-tiba didapati ada dalam akaun persendirian Najib.
9.​ Tidak pernah dalam sejarah Malaysia merdeka, Perdana Menteri Malaysia memiliki sebegitu banyak duit. Untuk apa tujuan pun Perdana Menteri Malaysia tidak harus memiliki RM2.6 billion.
10.​Yang jelas ialah tanpa duit yang begitu banyak, BN dan Umno telah menang dengan berkali lebih baik dari Najib dalam PRU13. Bukan wang yang boleh beri kemenangan. Khidmat pada rakyat dan keikhlasan niat yang memberi kemenangan bagi parti.

Mahathir: Najib cuba sogok saya


Setelah serangan demi serangan, Tun Mahathir Mohamad hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba menyogoknya.
“Najib biasa datang jumpa saya untuk bertanya apa yang saya hendak.
"Saya fikir ia ikhlas dan saya pun sebut beberapa projek pembangunan untuk negara.
“Kemudian saya sedar ia sedang mencuba sogok saya dengan cara ini supaya saya tidak bangkit soal 1MDB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan beliau tidak menyokong Najib kerana tidak dapat apa yang diminta.
Bagaimanapun, kata Mahathir, beliau tidak minta apa-apa, malah menolak pemberian kerajaan selepas bersara, seperti tanah percuma di Putrajaya.
“Saya minta untuk membeli tanah di Putrajaya dan saya bayar satu juta untuk sekeping. Duit ini dari tabung simpanan saya selama 29 tahun dalam kerajaan. Tak hutang,” katanya.
“Hadiah yang diberi kepada saya semasa dalam kerajaan saya pulangkan balik kepada kerajaan.
“Semua boleh dilihat di Galeria Langkawi dan kediaman PM lama di Jalan Terengganu, off Jalan Damansara,” kata perdana menteri keempat itu.
Justeru, beliau berkata permintaan daripada Najib semata-mata demi negara dan rakyat.
“Hanya apabila rahsia hutang dan kerugian 1MDB terbongkar barulah saya tarik sokongan saya daripada Najib,” katanya.

Kukuhkan UMNO, bukan Presiden – Shafie

Mengutarakan pandangan dan kritikan kepada Presiden secara berani dan membina antara cara yang betul untuk mengukuhkan parti, dan pegangan UMNO keatas kerajaan.
shafie-apdalKUALA LUMPUR: UMNO tidak akan terus menguasai kerajaan sekiranya pemimpin-pemimpin parti mengukuhkan kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semata-mata.
Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pengkritik bahawa mengutarakan pandangan dan kritikan kepada Presiden secara berani dan membina antara cara yang betul untuk mengukuhkan parti, dan pegangan UMNO keatas kerajaan.
“Dalam kita membantu parti, kerajaan ada banyak bentuk, satu dalam laksanakan projek, satu dalam bentuk pelbagai kemudahan asas dan juga ada bantuan kepada presiden parti berbentuk nasihat dan pandangan.
“Supaya kita dapat kukuhkan parti kita. Kalau kita tidak kukuhkan parti kita, hanya kukuhkan presiden, kerajaan tidak akan kita miliki lagi,” ujarnya sewaktu ditemui pemberita di luar Dewan Merdeka pada Khamis.
Mengulas mengenai ucapan dasar Presiden, Ahli PArlimen Semporna itu menghormati dan menerima pandangan Najib Razak. Katanya lagi, rekod boleh menunjukkan bahawa beliau telah memainkan peranannya sebagai Naib Presiden dengan baik.
“Kita hormat tentang pandangan yang telah beliau lontarkan. Walaupun Yang Berhormat (Najib) menyentuh mengenai peranan Naib Presiden.
“Saya berani katakan saya telah memainkan peranan sebagai Naib Presiden. Membantu bukan hanya presiden, tetapi juga parti kita (UMNO),” jelasnya.
Bahkan, sebelum ini beliau menggunakan saluran yang betul untuk menasihati tuan Presiden.
“Saya berjumpa dengan beliau (Najib) bukannya sekali. Hampir setiap bulan. Saya bercakap di Kabinet, tidak bercakap di luar. Saya bercakap di peringkat Majlis Tertinggi. Ada tempatnya,” ujar beliau.
Ketika ditanya mengenai ketetapan hanya Presiden dibenarkan berucap sewaktu sesi penggulungan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Shafie menerimanya dengan hati terbuka.
“Tidak (tidak bersedih), sebagai politician, kita harus ambil segala pandangan teguran dan krtikan terhadap diri kita. Saya terima, saya terbuka.

Tiada ucapan Muhyiddin, nasib juga belum jelas

 Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sah tidak dibenarkan berucap dalam sesi penggulungan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ke-69 pada Sabtu ini.
Beliau mengesahkan perkara itu kepada pemberita selepas ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu negara malam ini.
“Saya sedih, saya masih tidak diberikan peluang untuk berucap,” katanya.
Muhyddin juga berkata mulut beliau kini “dikunci”.
Mesyuarat MT Umno hari ini bermesyuarat kira-kira dua jam.
Muhyiddin dengan wajah yang sungul mengulangi kekecewaannya dengan berkata:
"Saya sedih. Hak saya sebagai timbalan presiden hanyalah duduk hingga akhir. Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi itulah keputusannya," katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin menyatakan bahawa beliau dan naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal telah merayu tetapi tetap tidak dibenarkan berucap.
"Saya dan Shafie merayu untuk dibenarkan berucap. Tetapi setelah perbincangan dilakukan, nampaknya tetap menghalang saya," katanya.
Mesyuarat menetapkan bahawa hanya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak akan berucap pada sesi penggulungan.
Tiada sidang media diadakan selepas mesyuarat hari ini.

PAU: Muhyiddin sedih mulut dikunci MT

Hanya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan berucap pada sesi penggulungan.
muhyiddin
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) UMNO tetap dengan keputusan untuk tidak membenarkan Timbalan Presiden berucap pada sesi penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ke-69.
Tan Sri Muhyiddin sewaktu ditemui FMT melahirkan rasa kecewa dengan pendirian majlis itu.
“Saya masih tidak diberikan peluang untuk berucap. Saya tidak tahu atas alasan apa.
“Saya tidak boleh merasmikan, tidak boleh berucap. Mulut saya dikunci,” ujarnya sewaktu ditemui selepas mesyuarat khas MT pada Rabu malam.
Muhyiddin dan Shafie sebelum ini lantang mengkritik Najib ekoran beberapa isu kontroversi yang dikaitkan pada Presiden UMNO itu.
Antara isu yang dikaitkan adalah kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion dari seorang dermawan Timur Tengah yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.
Mengulas lanjut, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tanpa berselindung menyatakan rasa dukacita diatas layanan yang diterimanya.
“Saya sedih. Hak saya sebagai Timbalan Presiden hanyalah duduk hingga akhir. Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi itulah keputusannya,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Muhyiddin menyatakan bahawa beliau dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal telah merayu tetapi tetap tidak dibenarkan berucap.
“Saya dan Shafie merayu untuk dibenarkan berucap. Tetapi setelah perbincangan dilakukan, nampaknya (MT) tetap menghalang saya,” jelasnya.
Di mesyuarat yang berlangsung pada jam 8 malam itu, majlis menetapkan bahawa hanya Presiden Datuk Seri Najib Razak dibenarkan berucap.
Mesyuarat turut menetapkan bahwa Muhyiddin dan Shafie masih lagi ahli UMNO dan tidak dipecat dari parti Melayu itu.

Rayuan Muhyiddin, Shafie berucap pada penggulungan ditolak MT Umno

Majlis Tertinggi Umno menolak rayuan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal untuk memberikan penggulungan ucapan presiden. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 9 Disember, 2015.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Majlis Tertinggi (MT) menolak rayuannya untuk berucap menggulung ucapan presiden dalam perhimpunan agung kali ini.Ia sekaligus 1 lagi langkah mengekang pemimpin nombor 2 Umno itu daripada mengkritik Datuk Seri Najib Razak di hadapan perwakilan  seluruh negara yang berhimpun di Ibu Pejabat Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga 12 Disember ini.
"Saya dan Datuk (Seri) Shafie (Apdal) merayu supaya diberi berucap tetapi nampaknya tidak boleh juga.

"Dalam perbincangan itu ada yang menghalang saya. Saya tidak tahu kenapa tetapi itulah keputusannya," katanya sewaktu ditemui pemberita selepas mesyuarat MT Umno malam ini. Menurut Muhyiddin, beliau tidak bersetuju dengan ketetapan itu yang dilihat menutup ruang buat dirinya selaku timbalan presiden serta ia bukan amalan biasa Perhimpunan Agung Umno.
"Saya tidak berapa setuju, sepatutnya bagilah ruang dan peluang kerana itu amalan biasa," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ucapan penggulungan hanya dibuat ketua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.
Beliau juga mengesahkan tiada sebarang perbincangan tentang tindakan disiplin ke atas Muhyiddin dan Shafie sewaktu mesyuarat MT berlangsung sebentar tadi.
Ia sekaligus memadamkan desas-desus kemungkinan Muhyiddin dan Shafie dipecat daripada Umno ekoran kritikan mereka terhadap Najib terutamanya isu derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
"Tidak ada perbincangan melibatkan jawatankuasa disiplin dan sebagainya. Presiden, timbalan presiden dan naib presiden masih orang sama," katanya.

Isu Rosmah di tangga teratas video '51 dalil'


Ketika ketegangan hubungan perdana menteri dan timbalannya pada 1998 – Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim – muncul sebuah buku kontroversi ketika perhimpunan agung Umno.
Mungkin terinspirasi daripada buku “50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM” itu, video hampir sama kini muncul di Internet yang memaparkan 51 sebab penolakan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Dinamakan “51 Dalil Mengapa PM Najib Razak Sudah Tidak Layak Jadi PM”, video itu kini dikongsi meluas di media sosial.
Tidak jelas asalnya dikeluarkan oleh siapa, ia dikesan dimuat naik di Facebook Kelab Che Det, yang menyokong Mahathir.
Empat jam sahaja dimuat naik, ia ditonton sebanyak 189,455 kali, dikongsi 7,552 kali dan mengumpul 11,534 'like'.
Di tangga teratas, video itu menjadikan dakwaan sekitar isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai faktor utama.
“Tidak berupaya mengawal isteri boros berbelanja,” menurut dalil pertama itu.
Antara faktor lain dibangkitkan melibatkan kekangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), peningkatan kos sara hidup, isu 1MDB dan penerimaan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.