Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kritikan yang dibuatnya baru-baru ini bertujuan menyelamatkan Umno dan negara daripada jatuh ke tangan yang salah.
Jelasnya, kritikan itu dibuat tanpa niat jahat.
“Saya sebut perkara ini bukan kerana ada niat jahat…Saya sebut perkara ini kerana soalan-soalan yang ditanya rakyat.
“Saya perlu yakinkan rakyat bahawa kerajaan yang diketuai Umno hari ini komited untuk melakukan transformasi.
“Kami adalah kerajaan telus, kerajaan yang berintegriti, sebuah kerajaan bertanggungjawab yang mentadbir dengan baik,” katanya ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran beberapa Pemuda Umno bahagian di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam ini.
Bagaimanapun, jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, jika tindakan pucuk pimpinan itu menimbulkan banyak persoalan tidak terjawab, maka keyakinan rakyat akan terhakis.
Beliau berucap panjang lebar berhubung dua isu kontroversi yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno.
Berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana lembaga penasihatnya dipengerusikan Najib, Muhyiddin mengulangi desakannya supaya siasatan bebas dijalankan.
Beliau turut mencadangkan Najib supaya mengambil cuti, bagi memberi laluan kepada siasatan 1MDB.
Jelasnya, model perniagaan 1MDB adalah tidak baik, justeru pihak terbabit perlu bertanggungjawab dan tarikh akhir siasatan tidak sepatutnya menjadi ‘sasaran bergerak’.