KUALA LUMPUR, 30 November:

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menafikan dakwaan beliau berucap menggesa Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian dalam catatan terbaru di Facebooknya, susulan penyebaran gambar menerusi aplikasi WhatsApp, beberapa hari ini.
“Kandungan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh seperti yang dipaparkan di kedua-dua Facebook Rafi Awang Kechik dan Perak Today (sebagaimana gambar di bawah) dan tersebar melalui WhatsApp adalah fitnah.
“Sila rujuk laporan berita The Malaysian Insider, Malaysiakini, Sinar Harian, Astro Awani dan The Star yang membuat liputan ucapan TSMY yang sebenar,” katanya memetik Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, blogger, Rafi Awang Kechik mendakwa kandungan ucapan Muhyiddin penuh dengan elemen menghasut.
“Kalau itu fitnah, sebagai manusia biasa saya mohon maaf, tapi pada sesiapa yang ada di majlis TSMY semalam, ucapan beliau sama dengan apa yang Tun Mahathir tulis, ucapan yang penuh dengan elemen hasutan.
“TSMY ada tiga majlis pada petang itu dan dalam dua majlis, satu pertemuan tertutup dengan lebih kurang 100 ketua cawangan, ucapan TSMY tak jauh beza dengan apa yang Tun M tulis, malah lebih mengejutkan, TSMY boleh merujuk kepada Malaysian Insider dan Merdeka Centre. Sejak bila portal ini dirujuk sebagai benar?” tulis blogger tersebut di laman sosial Facebooknya.
Semalam, Muhyiddin berada di Johor untuk bertemu dengan pimpinan akar umbi.
Beliau ketika berucap dalam salah satu majlis itu sekali lagi berikrar akan terus bersama Umno dan perjuangan parti itu.
Malah, katanya, beliau tidak mahu terus-menerus menanggung dosa, jika mendiamkan diri melibatkan perkara-perkara yang salah dalam pentadbiran kerajaan dan kepimpinan parti.