KOTA BHARU, 29 November:

Pas Kelantan mengibaratkan Parti Amanah Negara (Amanah) seperti parti dalam `beg poli’ yang bercambah selepas diberikan baja dan sentiasa dijirus.
Bagaimanapun, Amanah dianggap tidak akan ke mana-mana kerana hanya berada di dalam ‘bekasnya’ sahaja walaupun segar.
Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob secara berseloroh mengatakan Amanah adalah sebuah parti yang baru bercambah dan Pas akan melihat setakat mana kekuatannya.
“Pas adalah sebuah parti yang sudah lama…sudah rasai pelbagai cabaran dan gelombang besar.
“Amanah ini saya lihat seperti benih yang baru bercambah…banyak diberikan baja, jirus air dengan banyak supaya nampak segar tetapi hanya di dalam ‘polybag’ sahaja,” katanya.
Difahamkan, Amanah yang ditubuhkan oleh bekas ahli dan pemimpin Pas termasuk bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang kini Presiden Amanah dikatakan sedang giat mengumpul keahlian dan Kelantan adalah antara negeri yang mempunyai keahlian tertinggi.