PETALING JAYA, 26 November:
Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula kes seorang mekanik yang didakwa bersubahat dalam kes pembunuhan mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais, September lalu.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff memaklumkan beberapa laporan berkaitan kes itu termasuk laporan tempat kejadian belum diperoleh.
Beliau memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu sementara menunggu laporan berkaitan diperoleh dan peguam R.Thirukumaran yang mewakili tertuduh A. Murugan tidak membantah permohonan itu.
Pada 28 September lepas, Murugan, 44, didakwa bersubahat dengan enam lelaki membunuh Kevin di No 20 Desa Mentari di sini, di antara 9.30 pagi hingga 8 malam, 4 September lepas.
Sementara itu, Dr Kolonel K Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu iaitu G. Gunasekaran, 47, R.Dinishwaran, 23, A. Thinesh Kumar, 22, M. Vishwanath, 25, S. Nimalan, 22, dan S. Ravi Chandaran, 44, melakukan kesalahan itu.
Enam lelaki dan doktor tentera itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 28 September lepas.
Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September lepas.
Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.