KUALA LUMPUR, 23 November:
“DAP akan menyatakan pendirian parti berkenaan berhubungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) apabila ia dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan kelak,” kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Menurut Anthony Loke, Pas tidak perlu membuat andaian sendiri mengenai perkara berkenaan kerana DAP masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun pandangan berhubung TPPA.
“TPPA ini merupakan satu perjanjian yang kompleks dan ia memerlukan masa untuk mengkaji kandungan yang terdapat di dalamnya.
“Pas boleh cakap apa sahaja kerana ada Ahli Parlimen mereka yang menyokong bajet yang dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Jadi, kajian mengenai TPPA sedang dijalankan dan kita akan menyatakan pendirian rasmi mengenainya apabila ia dibawa untuk dibentangkan ke Parlimen,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki semalam yang mendakwa DAP tidak pernah lantang menyuarakan tentangan secara jelas terhadap TPPA.
Semalam, Sinar Online melaporkan Dr Zuhdi berkata DAP tidak pernah lantang menyuarakan tentangan secara jelas terhadap TPPA dan ia dapat dilihat menerusi reaksi DAP yang agak hambar setiap kali isu TPPA dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat.
“Antara parti yang kuat menentang TPPA ini adalah Pas, saya dimaklumkan DAP pula menyokong TPPA.
“Ini (DAP sokong TPP) saya dengar melalui khabar angin yang diperoleh daripada outpost Parlimen dan ia mungkin boleh disahkan oleh DAP sendiri,” dakwanya.