Jumaat, 20 November 2015

Mesyuarat MT Umno di Parlimen bagi singkir Muhyiddin?

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bakal diadakan pada Selasa ini yang bertempat di bangunan parlimen dan bukan seperti lazimnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi ibu pejabat Umno.
Ini menimbulkan spekulasi bahawa kemungkinan tindakan disiplin diambil terhadap timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.
Dalam blognya hari ini Akramsyah Sanusi - anak kepada bekas Setiauasaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid mendakwa bahawa mesyuarat itu dipercepatkan dari 27 November kepada 24 November.
Beliau juga melaporkan mesyuarat majlis tertinggi itu bakal tidak diadakan di tempat biasa iaitu di PWTC tetapi beralih ke bangunan parlimen.
Menurut Akramsyah, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh, sedang dengan 'senyap-senyap' menjemput ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno supaya hadir ke mesyuarat yang bermula jam 6 petang pada tarikh berkenaan.
Katanya, kedua-dua Muhyiddin dan Shafie kini di luar negara.
Semakan Malaysiakini mengesahkan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu hanya akan kembali pada 25 November manakala Shafie dilaporkan sedang menunaikan umrah di tanah suci Makkah.
Ketika dihubungi, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengesahkan bahawa mesyuarat akan datang bakal diadakan di bangunan Parlimen.
'Budak ini mengarut'
Bagaimanapun, beliau menafikan mengetahui mengenai agenda mesyuarat ataupun mengenai tarikh mesyuarat dipercepatkan.
"Bagaimana budak ini (anak Sanusi) tahu agenda mesyuarat itu walaupun dia bukan anggota Majlis Tertinggi.

JAWI: Kursus perkahwinan Yapeim di Paris jimatkan kos

Kursus perkahwinan yang dijalankan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Paris, Perancis adalah bagi menjimatkan kos, dakwa Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Paimuzi Yahya.
"Dari segi ekonomi memang jimatkan bajet pelajar di luar negara untuk kursus perkahwinan," kata Paimuzi pada sidang media selepas Majlis Mahabbah Alumni Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Bangi lewat petang tadi.
Paimuzi berkata ini kerana pelajar Islam di luar negara tidak perlu berbelanja lebih semata-mata mahu pulang ke Malaysia bagi menghadiri kursus tersebut.
"Apabila (kursus) dibuat di luar negara kita kumpulkan 150 orang dan penceramahnya dua atau tiga orang di mana belanjanya memang sedikit.
"Itulah keuntungan yang akan diperolehi pelajar luar negara (tanpa perlu balik ke Malaysia untuk hadir kursus)," katanya yang juga adalah Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU).
Menurutnya, pelajar diwajibkan untuk menghadiri kursus tersebut.
"Sekarang ini memang peraturan kita bakal pengantin baru perlu menghadiri kursus pra perkahwinan kerana bila balik nanti tak perlu berkursus lagi. Sijil yang dikeluarkan oleh JAWI laku di seluruh negara dan sepanjang masa," kata Paimuzi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan NGO Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) pada Isnin lalu bahawa wang Yapeim sebanyak RM290,000 digunakan bagi kursus perkahwinan di Perancis bagi memastikan pelajar Malaysia di negara itu tidak terpengaruh dengan LGBT.
Kursus program yang dinamakan ‘Simposium Perdana Paris: Isu Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahwanan dan Pengurusan’ yang diadakan pada bulan Disember tahun lalu adalah anjuran bersama Jakim, JAWI, Yapeim, MAIWP dan PKPU.
Pengarah NOW, Akmal Nasir, juga mempersoalkan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom terbabit merasmikan kursus perkahwinan pada bulan Disember tahun lalu.

Batal debat, bukti PAS takut - Penganalisis


SHAH ALAM: Tindakan PAS melarang debat antara Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dengan ADUN Salor, Datuk Husam Musa disifatkan seperti ingin menyembunyikan sesuatu daripada umum.
 
Penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir berkata debat yang bertujuan merungkai dakwaan berhubung cadangan kerjasama bersama Umno itu, mungkin menimbulkan kebimbangan PAS sekaligus boleh menjejaskan reputasi parti Islam itu.
 
Post Pic "Jadi saya rasa ada benda yang dia (PAS) hendak sorokkan daripada masyarakat umum (bahawa) sebenarnya ura-ura hendak berbaik dengan Umno itu memang sudah kita dengar dairpada dulu lagi.
 
"Cumanya saya melihat sekarang ini bila PAS tidak bersama parti pembangkang dia hendak mencari jalan selamat dan mereka hendak menonjolkan kepada penyatuan orang Melayu dan Islam.
 
"Cuma saya rasa di dalam hendak membuat perkara sebegitu tidak semua orang akan rasa selamat jadi akan ada keluar perkara yang tidak sepatutnya (jadi) mereka larang daripada berdebat. Apabila berdebat nanti akan terbongkar semua perkara jadi akan memburukkan reputasi PAS juga," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Salawati juga memberitahu sekiranya perdebatan sesama ahli PAS itu berlaku, ia bakal memberi persepsi buruk kepada PAS yang kini bersendirian tanpa PKR dan DAP.
 
"Sebab sekarang ini PAS tidak lagi duduk di dalam Pakatan Rakyat jadi jika buat macam itu dia akan menampakkan PAS berada dalam keadaan lebih teruk di mata masyarakat," ujarnya.

Larangan berdebat boleh jejaskan parti - Husam

Post Pic
 
SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menyifatkan larangan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan terhadap beliau dan Datuk Mustafa Ali untuk berdebat boleh menjejaskan imej parti.
 
"Cara ini memburukkan imej parti dan tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah parti yang besar dan berwibawa," katanya dalam satu kenyataan.
 
Malah Husam yang merupakan ADUN Salor itu turut mendakwa larangan yang dikeluarkan sejurus selepas beliau dan Mustafa bersetuju untuk berdebat seperti ada perkara yang sedang disembunyikan.
 
"Melarang perdebatan saya dan bekas SUA Pas yang dibuat dua atau tiga jam selepas persetujuan oleh Datuk Mustafa, seakan menunjukkan ada sesuatu yang hendak dilindungi dari terbongkar," ujarnya.
 
Husam juga mempersoalkan pertindihan kenyataan yang dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi PAS mengenai isu ini.
 

MEMAHAMI TANDA2 MUHYIDDIN AKAN DIPECAT ATAU SEBALIKNYA

Bila sebenarnya mesyuarat MT UMNO akan diadakan? 

Ada maklumat mengatakan tarikhnya telah ditetapkan pada 27 November ini, tetapi sebagaimana yang tersebar luas dalam media sosial dan grup Whatsapp, mesyuarat itu dikatakan sedang cuba diawalkan pula kepada 24 November.

Tidak dipastikan sejauh mana betul atau tidaknya maklumat itu, tetapi jika benar mesyuarat akan diadakan pada 24 November, kemungkinan ia tidak dapat dihadiri oleh Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal kerana kedua-dua berada di luar negara.

Muhyiddin difahamkan akan kembali ke tanahair pada 25 November manakala Shafie yang menunaikan umrah juga dijangka akan pulang sehari dua sebelum jadual asal mesyuarat MT pada 27 November itu.

Persoalannya, apakah Muhyiddin dan Shafie akan dipecat  dalam mesyuarat MT UMNO kali ini?

Jika benar tarikh mesyuarat itu diawalkan kepada 24 November, apakah tujuannya dan adakah ia merupakan petanda buruk kepada kedua-duanya?

Namun, jika mesyuarat kekal pada tarikh 27 November, adakah ia boleh dianggap petanda baik bahawa mereka akan terlepas daripada sebarang hukuman?

Mesyuarat MT kali ini lebih menjadi perhatian kerana Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 8 hingga 12 Disember depan. Sebarang tindakan, sama ada pemecatan atau penggantungan keahlian, khususnya kepada Muhyiddin, akan dilihat sebagai percubaan secara "terang lagi bersuluh" untuk menghalangnya daripada merasmkan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang dijadual diadakan pada malam 8 Disember.

Bagaimanapun, jika kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor beberapa hari lalu masih boleh dipercayai dan diterima pakai,  bermakna kedudukan Muhyiddin Yassin tidak akan tergugat menjelang Perhimpunan Agung UMNO 8 hingga 12 Disember ini.

Tengku Adnan dilaporkan berkata, isu pemecatan Muhyiddin daripada UMNO hanyalah khabar angin semata-mata dan beliau tidak mengetahui apa-apa mengenainya.

Sejak mesyuarat MT yang sepatutnya berlangsung pada 30 Oktober lalu ditangguhkan, spekulasi berlegar kuat bahawa penangguhannya ialah untuk memberi tempoh kepada ibu pejabat UMNO menyediakan laporan dan seterusnya pertuduhan terhadap Muhyiddin dan enam pemimpin lain yang didakwa mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti secara terbuka.

Antara yang disebut-sebut akan diambil tindakan sama selain Muhyiddin dan Shafie ialah Tun Mahathir Mahathir, Sanusi Junid dan beberapa yang lain yang tidak diketahui secara pasti identiti mereka.

Dalam program Bicara Minda - Berani Kerana Benar di Johor Bahru kira-kira dua bulan lalu, Muhyiddin turut meluahkan perasaan kecewa berikutan kedudukannya sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO tidak lagi dihormati selepas digugurkan jawatan dalam kabinet.

Bagaimana tangani 1MDB jika Pengerusi PAC ‘takut’ dengan media?


PAC_785
KUALA LUMPUR 20 NOV: Kewibawaan Datuk Hasan Arifin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) baru untuk memastikan integriti dan akauntabiliti kewangan kerajaan dipertikai berikutan ‘ketakutannya’ berdepan pengamal media.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata KPI Hasan bergantung kepada keupayaannya menangani dua dakwaan penyelewengan iaitu derma RM2.6 bilion dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Seakan-akan Parlimen Malaysia menghadapi sindrom skizophrenia, beliau berkata, Malaysia tidak harus mencatat sejarah dalam sistem berparlimen di dunia sebagai memiliki satu-satunya pengerusi PAC yang fobia media.
“Jika ada individu yang patut dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana melakukan penghinaan awam, ia sepatutnya Hasan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini, Hasan dilapor kebanyakan media tempatan sebagai berkata beliau juga mahu ‘cari makan’ ketika ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil PAC berkaitan skandal 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion.
Ia mendorong Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendesak Hasan meletak jawatan sebagai pengerusi PAC berikutan kenyataan itu memalukan, selain menunjukkan beliau tidak memiliki kebebasan yang diperlukan.

TPPA: Ya, harga ubat akan naik, kata Obama

 Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hari ini mengakui bahawa harga ubat dijangka naik sebaik sahaja Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) disahkan.
Bercakap pada sesi perbincangan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), Obama bagaimanapun berkata sifat perjanjian perdagangan itu adalah bahawa semua pihak yang terlibat perlu bersedia untuk berkorban atau rundingan itu tidak akan berjaya.
"Ketika ini, banyak syarikat-syarikat ubatan di Amerika Syarikat marah pada saya kerana mereka kata mereka tidak lagi dilindungi. Jawapan saya, dalam persekitaran global yang baru ini, perkara sentiasa berubah setiap masa dan sebahagian daripada nilai saya adalah bahawa perubahan itu mestilah baik bagi orang kebanyakan.
"Saya tidak percaya bahawa kita boleh hentikan perubahan. Saya tidak fikir bahawa dengan meletakkan halangan ke atas perdagangan, kita boleh hentikan perubahan," katanya ketika menjawab soalan peserta dari Malaysia.
Peserta yang memperkenalkan dirinya sebagai Rizal itu menimbulkan kebimbangan bahawa TPPA adalah "perjanjian elitis" yang akan membebankan majoriti rakyat Malaysia dan mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah.

PAS kekal dalam kerajaan Selangor

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata ahli exco PAS akan meneruskan tugas seperti biasa dalam pentadbiran Selangor bersama PKR dan DAP seperti yang diputuskan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sebelum ini. – Gambar dari Facebook, 20 November, 2015. 
Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata ahli exco PAS akan meneruskan tugas seperti biasa dalam pentadbiran Selangor bersama PKR dan DAP seperti yang diputuskan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sebelum ini. 

PAS Selangor kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, meskipun PAS pusat semalam mengisytiharkan parti Islam itu menjadi pembangkang di Pulau Pinang. Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata ahli exco PAS akan meneruskan tugas seperti biasa dalam pentadbiran Selangor bersama PKR dan DAP seperti yang diputuskan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sebelum ini.
"Ahli Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Selangor tetap bersama Pakatan (Rakyat) dan tetap dalam kerajaan Selangor. MB Selangor juga sudah putuskan perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Khairuddin diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang mengisytiharkan parti itu menjadi pembangkang di Pulau Pinang. Ini berikutan tindakan kerajaan negeri itu memecat 300 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kalangan ahli PAS di negeri berkenaan.

Amanah sanggup sedia ‘lori besar’ sambut Husam

Husam Musa bakal menjadi aset besar kepada Amanah kerana kecemerlangannya ketika menjadi Exco Kerajaan Kelantan.
Mohd-Anuar-Tahi_husam-musa_600
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia untuk menerima bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sekiranya beliau dipecat.
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir berkata pihaknya sedia untuk menerima Husam malah mendoakan beliau segera menyertai parti bongsu dalam Pakatan Harapan (PH).
“Kalau dia mahu sertai, kita sedia untuk menerima. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan dan sekiranya tidak muat kereta kancil, lori besar kami sediakan.
“Malah sejak pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelihatan Husam telah dipinggirkan oleh partinya sendiri,” ujarnya dalam sidang media di Wisma Amanah Negara pada Jumaat.
Namun, katanya, Amanah tidak menjanjikan apa-apa jawatan kepada Husam jika menyertai Amanah.
“Walaupun tiada jawatan di dalam parti, Husam berhak mengkritik dan memberikan pandangan. Malahan pihak pimpinan tertinggi sedia menerima teguran beliau,” katanya lagi.
Mohd Anuar turut mengakui sekiranya Husam sertai Amanah, beliau akan menjadi aset besar kepada parti itu kerana beliau memiliki rekod cemerlang sepanjang menjadi EXCO Kerajaan Kelantan.
“Kita tahu beliau merupakan pemimpin yang hebat kerana di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, kita dapat lihat kecemerlangannya. Malah, beliau juga pernah mengetuai pelbagai biro,” katanya.

Dr M: Yapeim adakan kursus di Paris belajar tentang LGBT?


Kursus perkahwinan yang dijalankan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Paris, Perancis bukan untuk tidak menggalakkan hubungan homoseksual, tetapi untuk belajar mengenainya, perli Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Jika awak pergi ke Paris, ada ramai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sana.
 "Mungkin mereka pergi ke sana untuk belajar mengenai LGBT?" sindir Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Asyraf Wajdi Dusuki yang mempertahankan tindakan Yapeim mengadakan kursus perkahwinan di Perancis dengan perbelanjaan sebanyak RM290,000 bagi memastikan pelajar Malaysia di negara itu tidak terpengaruh dengan LGBT.
Dakwaan itu dibuat oleh NGO Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) pada Isnin.
Menurut pengarahnya, Akmal Nasir, kertas kerja kursus perkahwinan juga diluluskan oleh Yapeim.
Akmal juga mempersoalkan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom terbabit merasmikan kursus program yang dinamakan ‘Simposium Perdana Paris: Isu Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahwanan dan Pengurusan’ yang diadakan pada bulan Disember tahun lalu.

Cerita Umno cawangan Sepang gesa Najib letak jawatan tipu, kata Ku Nan

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap berita 10 ketua Umno cawangan dan 14 pemimpin sayap cawangan dalam Bahagian Sepang yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap perdana menteri pada 17 November lalu tidak benar sama sekali. – Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim, 20 November, 2015. 
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap berita 10 ketua Umno cawangan dan 14 pemimpin sayap cawangan dalam Bahagian Sepang yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap perdana menteri pada 17 November lalu tidak benar sama sekali. 

Selepas mengesyaki ada dalang di sebalik gerakan menentang perdana menteri di kalangan ahli peringkat cawangan di Sepang, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menganggap berita itu tidak benar sama sekali. Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang perkembangan terkini kes tersebut selepas satu majlis di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, petang ini.
"(Berita) cawangan semua itu tipu," katanya ringkas.

Beliau ditemui sewaktu berjalan meninggalkan majlis selepas menyampaikan bantuan RM72,000 kepada 80 orang penerima bantuan awal pengajian tinggi di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan. Tengku Adnan pada 18 November lalu mengesyaki mungkin wujud dalang di sebalik gerakan akar umbi Umno Sepang menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Saya akan meneliti (dan) melihat (perkara itu). Kita akan tengok (sama ada) benda (itu) betul dibuat oleh cawangan tersebut atau ada orang yang main berperanan sebagai dalang," katanya di lobi Dewan Rakyat 2 hari lalu.
Sepuluh ketua Umno cawangan dan 14 pemimpin sayap cawangan dalam Bahagian Sepang pada 17 November lalu menyatakan hilang kepercayaan terhadap perdana menteri yang juga presiden Umno dan mendesak supaya beliau meletak jawatan.
The Malaysian Insider melihat senarai ketua cawangan dan sayap cawangan dalam bahagian Umno itu yang menandatangani kenyataan bersama mendesak peletakan jawatan Najib.

Muhyiddin, Shafie dipecat 27 November?

Perubahan tarikh itu menimbulkan tanda tanya tentang nasib Muhyiddin dan Shafie
Shahbudin-Husin-Muhyiddin-Yassin-Shafie-Apdal
PETALING JAYA : Desas desus yang menyatakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO diawalkan pada 24 November dari tarikh asalnya iaitu pada 27 November menimbulkan tanda tanya.
Bekas Naib Ketua Pemuda Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata, sekiranya benar tarikh mesyuarat itu diawalkan pada 24 November ia membawa nasib buruk kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal.
Walaubagaimanapun, katanya sekiranya mesyuarat tersebut kekal pada 27 November, adakah ia merupakan petanda baik bahawa mereka akan terlepas daripada sebarang hukuman.
“Muhyiddin difahamkan akan kembali ke tanahair pada 25 November manakala Shafie yang menunaikan umrah juga dijangka akan pulang sehari dua sebelum jadual asal mesyuarat MT pada 27 November itu.
“Persoalannya, apakah Muhyiddin dan Shafie akan dipecat dalam mesyuarat MT UMNO kali ini,” soalnya dalam entri terbaru di shahbudindotcom.blogspot.my.
Shahbudin menambah, mesyuarat MT UMNO kali ini akan lebih menjadi perhatian kerana Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 8 hingga 12 Disember depan.
Katanya, ini kerana sebarang tindakan sama ada pemecatan atau penggantungan keahlian khususnya kepada Muhyiddin akan dilihat sebagai percubaan secara ‘terang lagi bersuluh’ untuk menghalangnya daripada merasmikan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang dijadual pada 8 Disember.

Delegasi Yapeim ke Australia guna tiket kelas bisnes, kata NOW

Pengarah Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini mendedahkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim) guna dananya menganjurkan program agama di Australia, menaiki penerbangan tiket 'business class' ke Sydney. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Asraf, 20 November, 2015.Pengarah Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini mendedahkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim) guna dananya menganjurkan program agama di Australia, menaiki penerbangan tiket 'business class' ke Sydney. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Asraf, 20 November, 2015.
Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini mendedahkan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim) menggunakan dananya untuk menganjurkan satu program agama di Australia, menaiki penerbangan dengan tiket "business class" ke Sydney. Dalam pendedahan terkini kumpulan pemberi maklumat itu, Pengarah NOW Akmal Nasir berkata, agensi itu bersama cabang penyelidikannya Ar-Rahnu dan Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin), membelanjakan sejumlah RM218,505 untuk program 9 hari itu yang berlangsung pada April 2014.
Program itu diadakan untuk kira-kira 50 hingga 70 pelajar Malaysia yang menuntut di Australia.

"Apa perlunya buat rombongan 'business class' dan siapa mereka yang pergi ikut rombongan ini?" soal Akmal, merujuk kepada penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sydney itu, yang menelan belanja RM70,000. Akmal membuat dakwaan terkini beliau itu berdasarkan satu dokumen yang baru diperoleh daripada "sumber", yang memperincikan kos program itu pada peringkat kelulusan.
Pendedahan hari ini susulan pengumuman pihaknya minggu lepas mendakwa Yapeim membelanjakan RM290,000 untuk membiayai kursus perkahwinan di Paris, Perancis.
Akmal juga sebelum ini mendakwa, Yapeim turut membiayai rombongan yang termasuk seorang menteri dan isterinya ke Amerika Syarikat pada Mei tahun lepas.
Beliau berkata, dana itu digunakan untuk aktiviti yang termasuk bermain golf dan kunjungan ke pusat membeli-belah barangan berjenama di Washington.

Bantahan TPPA sambut Obama

Malaysia seharusnya tidak berkrompomi dengan menandatangani perjanjian TPPA itu kerana ia akan menunjukkan negara ini menjadi lemah
bantah_obama_600
KUALA LUMPUR: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Baracak Obama ke Malaysia disambut dengan bantahan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Lebih 20 orang yang terdiri daripada ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan bantahan itu di hadapan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat.
Mereka turut membawa plakad yang bertulis ‘war disney’ dan ‘killer’.
Empat orang daripada wakil kumpulan yang datang untuk membuat bantahan itu meletakkan memorandum berkenaan di luar bangunan kedutaan.
Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, Malaysia seharusnya tidak berkrompomi dengan menandatangani perjanjian TPPA itu kerana ia akan menunjukkan negara ini menjadi lemah.
“Malaysia ada maruahnya. Apabila perjanjian TPPA ini ditandatangani, ia akan menunjukkan kita lemah. Ia akan memalukan, menghina dan menghakis kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat.
Badrul Hisham yang dikenali dengan panggilan Chegubard berkata, sebab utama memorandum itu tidak diserahkan kepada wakil kedutaan berkenaan secara formal adalah ekoran mereka tidak mahu menghormati negara kuasa besar itu.
Dalam pada itu Setiausaha Agung PSM, A. Sivarajan mendakwa, kehadiran Obama pada Sidang Kemuncak ASEAN itu adalah untuk memujuk Malaysia supaya menandatangani TPPA.
“Itu sahaja tujuan dia datang ke sini. Ini kali kedua Obama datang ke Malaysia dan ia menunjukkan betapa terdesaknya untuk menjamin kepentingan korporat besar AS di rantau Asia Pasifik,” jelasnya.
Bantahan tersebut turut akan diadakan esok jam 2 petang yang akan bermula dari Kuala Lumpur City Center (KLCC) dan berakhir di Jalan Ampang.

TPPA: Obama datang Malaysia untuk desak Najib kata Tun M

Dr Mahathir Mohamad yakin kedatangan Obama bagi mendesak Perdana Menteri menandatangani TTPA.
mahathir_tppa_obama_600
KUALA LUMPUR: Kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia hanya mempunyai satu tujuan iaitu mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangami Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TTPA).
Perkara itu ditegaskan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tidak fikir dia (Obama) akan mengubah atau mahukan apa-apa dari dia (Najib Razak).
“Pada Barack Obama adalah mahu Najib menandatangani TPPA,” ujarnya dalam sidang media selepas melancarkan buku hasil tulisan Datuk Zaid Ibrahim pada Jumaat.
Obama berada di Malaysia selama tiga bermula 20 November hingga 22 November bagi menghadiri sidang kemuncak AS-Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur.
Ketibaan Obama itu bagaimanapun disambut dengan demonstrasi yang dilakukan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang tidak setuju mengenai perjanjian yang dianggap merugikan negara.
TPPA telah dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu di Atlanta, Amerika Syarikat. Malaysia perlu membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian itu selewat-lewatnya pada dua minggu pertama 2016.
Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005, membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

Obama ikrar timbulkan isu ketelusan dengan Najib

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berjanji untuk membangkitkan isu ketelusan dalam tadbir urus dalam perbincangannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Saya akan lakukannya. Saya perlu akui saya akan melakukannya juga tetapi sekarang saya sedang mendengar daripada anda, saya pasti akan lakukannya," kata Obama pada sesi perbincangan di Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Universiti Kolej Taylors di Subang Jaya, hari ini,
Kira-kira 500 peserta menghadiri acara tersebut.
 "Amerika Syarikat perlu sedikit berhati-hati kerana kita adalah sebuah negara besar dengan banyak pengaruh dan ada pula yang mengatakan mereka tidak mahu kita campur tangan dalam urusan dalaman negara mereka," katanya ketika menjawab satu soalan daripada felo YSEALI.
Obama diminta mendesak Najib supaya lebih telus dengan institusi-institusi negara ini, khususnya berkaitan dengan SPRM, Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang terlibat dalam siasatan ke atas firma pelaburan negara 1MDB yang Najib turut terpalit.
Peserta juga mahukan Obama menangani isu "sistem keadilan Malaysia yang gagal" dan menimbulkan isu kekangan kebebasan bersuara dalam pertemuannya dengan Najib.
"Negara menjadi terbaik apabila rakyat mempunyai suara yang dihormati, di mana akhbar boleh melaporkan kepada apa yang berlaku dan apabila rakyat boleh berhimpun secara aman," kata Obama.

Besan Najib ugut pekedai selepas didakwa ambil 12 beg jenama Hermes

Besan kepada Datuk Seri Najib Razak, Maira Nazarbayeva, dituduh mengambil sedozen beg tangan berjenama Hermes bernilai AS$400,000 tanpa membayar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2015.Besan kepada Datuk Seri Najib Razak, Maira Nazarbayeva, dituduh mengambil sedozen beg tangan berjenama Hermes bernilai AS$400,000 tanpa membayar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2015.
Besan kepada Datuk Seri Najib Razak, Maira Nazarbayeva, dilapor menggunakan nama perdana menteri selepas dituduh mengambil sedozen beg tangan berjenama Hermes bernilai AS$400,000 (RM1.7 juta) tanpa membayar. The New York Post semalam melaporkan Maira, yang pernah dituduh menipu beberapa tahun lalu, membuat tempahan beberapa beg daripada perniagaan daerah kewangan di Samilor pada 2014 dan 2015 tetapi tidak pernah membayarnya.
Memetik saman persekutuan Manhattan, akhbar itu berkata, Maira didakwa mengugut mencederakan presiden Samilor, Bella Belkin, dan keluarganya.

"Anda kenal siapa anak saya! Dia menantu perdana menteri Malaysia!" Maira dilaporkan sebagai berkata. "Saya akan cederakan anda dan keluarga anda jika anda menyaman saya!" kata Maira yang berkahwin dengan hartawan Bolat Nazarbayev, abang kepada presiden Kazakhstan.
Anaknya, Daniyar Nazarbayev, berkahwin dengan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa.
Ini bukan kali pertama Maira dan anaknya mendapat perhatian.
Pada 2012, mereka dituduh menipu Bolat berhubung sebuah kondominium bernilai AS$20 juta di Wall Street.
Maira menafikan tuduhan itu, mengatakan laporan itu timbul kerana "masalah peribadi keluarga" yang "dimanipulasi dan dieksploitasi pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik".
Pada tahun yang sama, The New York Post melaporkan perkahwinan Maira dan Bolat dibatalkan selepas Bolat mendapat tahu isterinya didakwa dikehendaki Interpol kerana pelbagai jenayah termasuk penculikan dan peras ugut.
Bagaimanapun, Maira menegaskan perkahwinannya masih kekal.
Dalam kes berasingan, Daniyar juga dituduh menipu kelayakan akademiknya untuk memasuki Universiti Columbia di Amerika Syarikat.

Anak didik Nik Aziz label menantu Hadi ‘firaun’

ADUN Salor Datuk Husam Musa menyifatkan menantu presiden PAS, Zaharudin Muhammad sebagai ‘lebih dari firaun’ kerana tidak berunding terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkenaan debat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) esok.
Husam berkata, sehebat firaun sekalipun, apabila hendak ‘bertarung’ dengan Nabi Musa beliau akan berunding terlebih dahulu mengenai tarikh, tempat dan masa.
“Sehebat dan segagah firaun sekalipun, bila hendak ditentukan masa, tarikh, tempat dan bentuk pertarungan antara Nabi Musa dan profesional sihir Diraja, firaun merundingi Musa.
 “Tidak ada keputusan unilateral atau sebelah pihak dilakukan.
“Pada hal firaun itu diktator yang paling tersohor. Runding merundingi tetap berlaku,” kata Husam dalam kenyataannya hari ini.
Sebelum ini berlaku ‘perang terbuka di laman sosial’ antara Husam dengan menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan isu pembalakan di negeri Kelantan.
Zaharudin turut menjemput Husam datang ke Kuala Lumpur esok, jam 10 pagi di KUIZM bagi berdebat mengenai kekalahan PAS di Kedah dan Terengganu.
Zaharudin turut berikrar akan bertanding menentang Husam bagi menyelamatkan PAS di Kelantan.

Ucap terima kasih kepada Husam, pemimpin Amanah beritahu PAS

Ahli PAS seharusnya bersyukur dengan pendedahan dibuat bekas naib presiden Datuk Husam Musa yang terdapat usaha penyatuan dengan Umno melalui presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata seorang bekas pemimpin parti itu, Mohamed Hanipa Maidin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2015.Ahli PAS seharusnya bersyukur dengan pendedahan dibuat bekas naib presiden Datuk Husam Musa yang terdapat usaha penyatuan dengan Umno melalui presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata seorang bekas pemimpin parti itu, Mohamed Hanipa Maidin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2015.
Ahli PAS seharusnya bersyukur dengan pendedahan dibuat bekas naib presiden Datuk Husam Musa yang terdapat usaha penyatuan dengan Umno melalui presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata seorang bekas pemimpin parti itu. Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamed Hanipa Maidin berkata, Husam mungkin memilih meluahkan segalanya secara terbuka kerana merasakan tindakan yang dilakukan PAS akhir-akhir ini menyebabkan parti Islam itu semakin lemah dan tidak dihormati.
"PAS sepatutnya berterima kasih, bukan hukum dia. Buat apa kita ada pemimpin yang asyik nak mengampu saja?

"Saya tak nampak AJK PAS Pusat sekarang ini mempunyai tokoh berwibawa seperti Husam," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bekas ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu berkata, sekiranya Husam disingkirkan daripada parti gara-gara pendedahan terbukanya itu, PAS yang akan menanggung rugi kerana beliau berpengaruh di kalangan pengundi, terutamanya di luar Kelantan.
Ini kerana, katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu merupakan pemimpin yang boleh mewakili rakyat pelbagai kaum.
"Saya rasa, PAS rugi kalau kehilangan orang seperti Husam. Pengaruh pengundi luar dalam PAS ini, antara faktornya adalah Husam.
"Jadi, sekiranya Husam diambil tindakan oleh PAS, saya rasa ia akan mempengaruhi undi dalam pilihan raya, khususnya pengundi luar Kelantan," katanya.
Sebelum ini, Hadi dikatakan pernah menawarkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali serta 2 lagi ahli PKR menyertai PAS bagi menjayakan kerjasama dengan Umno di Selangor.
Hanipa, ketua biro undang-undang Amanah berpendapat, kenyataan Husam itu bukanlah sesuatu yang memakan dirinya kerana beliau sendiri mengakui kebenaran pendedahan itu.
Beliau mengakui merupakan salah seorang individu yang menjadi saksi berhubung dakwaan Husam itu dan mendapatkan pengesahan daripada Hadi di hadapan AJK Pas Pusat ketika mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat tahun lalu.
"Apabila timbul isu Selangor itu, memang masa itu Azmin ada menelefon seorang pemimpin ahli PAS Pusat.
"Kebetulan masa dia telefon itu saya ada bersama, dan dia (ahli PAS Pusat) guna 'loud speaker' (pembesar suara di telefon).

Peguam ‘correct, correct, correct’ dihalang amal undang-undang


Peguam terkemuka Datuk VK Lingam, yang mendapat nama buruk kerana berkata, "correct, correct, correct" (betul) dalam video menunjukkan beliau membincangkan pelantikan hakim atasan  "mesra" Barisan Nasional, dihalang daripada mengamalkan undang-undang. Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara membuat keputusan pada awal bulan ini untuk memecat Lingam daripada jawatannya kerana terdapat "bukti jelas" (overwhelming evidence) beliau bersalah kerana salah laku profesional dalam skandal pada 2002 mengenai pelantikan hakim.
Presiden Majlis Peguam Steven Thiru mengesahkan keputusan lembaga yang dibuat pada 6 November.

"Kami dimaklumkan mengenainya minggu lepas," katanya kepada The Malaysian Insider tetapi enggan mengulas lanjut.
Peguam terkemuka Datuk VK Lingam dalam rakaman video menunjukkan beliau membincangkan pelantikan hakim atasan yang mesra Barisan Nasional, dihalang amal undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2015.
Pemecatan Lingam akan berkuat kuasa 21 hari selepas keputusan itu dan beliau boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Difahamkan satu jawatankuasa tatatertib dengan 3 ahli yang mendengar kes itu membuat cadangan memecat Lingam kepada lembaga disiplin itu yang dipengerusikan seorang hakim bersara.
Majlis Peguam yang merupakan pengadu dalam kes itu, membuat laporan kepada lembaga disiplin pada 2007.
Rakaman video yang direkodkan secara rahsia oleh bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo-Burne dibuat pada Disember 2001 dan dihantar ke laman sesawang perkongsian video YouTube.
Majlis itu berpendapat tindakan Lingam dalam klip video itu adalah campurtangan serius terhadap pentadbiran keadilan dan gambaran buruk terhadap kejujurannya, amanah atau kelayakannya sebagai peguam.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Lingam tidak mengambil bahagian dalam prosiding itu bagi mengemukakan kesnya kerana berada di luar negara sejak tahun lepas untuk rawatan perubatan.
Peguamnya R Thayalan juga menarik diri daripada prosiding itu apabila jawatankuasa itu menolak penangguhan lanjut dan enggan melayan permohonan yang salah seorang ahli jawatankuasa itu berat sebelah.
Kebanyakan saksi adalah individu sama yang berdepan 5 ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai bekas hakim besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor, berkaitan skandal tersebut.
'Saya boleh cakap apa saja yang mengarut dalam rumah saya'
Lingam memberi keterangan di hadapan RCI itu dan diingati kerana kata-katanya:"Ia nampak macam saya, ia bunyi macam saya", apabila ditanya sama ada lelaki yang bercakap di telefon dalam klip video itu adalah beliau.
Beliau juga memberitahu suruhanjaya diraja itu, terpulang kepadanya jika mahu "berpura-pura" bercakap dengan sesiapa saja yang beliau mahu.
"Saya boleh memilih apa saja topik yang saya suka. Saya malah boleh berpura-pura bercakap dengan Presiden Bush jika saya mahu," katanya menjawab satu soalan, sambil menambah beliau berhak bercakap “apa saja yang mengarut” di dalam rumahnya.

Semua yang berlaku dalam Umno ada dalangnya?

Diberitakan Umno Sepang, (katanya hampir 20 pemimpin akar umbi), mahu Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatan presiden parti dan perdana menteri Malaysia.
Kerana isu “political donation” RM2.6 billion, 1MDB serta pelaksanaan GST .
Kata 1 sumber dalaman Umno :  "Biasalah tu bro".

Apabila diminta mengulas tindakan pemimpin akar umbi Sepang itu. Kurang pasti apa maksudnya. Tidak ada huraian yang mengiringi respon itu. Adakah “biasalah tu bro” bererti orang Umno khususnya peringkat akar umbi suka “bising”?
Atau meminta (lebih tepat mendesak) presiden letak jawatan sesuatu yang biasa dalam Umno ? Satu amalan lazim ? Rasanya tidak.
Walaupun zaman Pak Lah ia berlaku.
Dalam konteks Najib, desakan beliau mesti undur kerap disuarakan beberapa lapisan dalam parti.
Selain Sepang , pemimpin akar umbi Teluk Kemang menyuarakan gesaan sama September lalu.
Yang disuarakan Tun Mahathir Mohamad semua sudah maklum.Tidak perlu diperincikan.
Pun begitu Najib tampak atau sememangnya kukuh kedudukannya. Lalu tidak berhasat berundur
Walau itu keadaannya, yang pasti ialah rasa tidak senang dengan Najib masih atau tetap wujud di kalangan ahli biasa Umno.
Bak kebakaran dalam tanah gambut.
Team Najib tahu akan situasi itu tetapi tidak cemas kerana yakin “kebakaran” tidak besar dan mudah dikawal.
Bagi Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Mansor, tindakan akar umbi Sepang disyaki ada dalangnya. Siapa yang beliau syak tidak dinamakan.
”Biar kami siasat dulu“, kata beliau sambil menegaskan “ada orang yang cari jalan untuk pecah belahkan Umno “.
Bukanlah rahsia besar ada bermacam puak dalam parti. Keadaan lebih rumit apabila Najib menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan perdana menteri .
Sekadar mengimbas kembali “cerita lama”.
Muhyiddin seperti kita tahu sehingga kini kekal timbalan presiden Umno tetapi mendapati kuasanya selaku orang nombor 2 parti terhakis.

Hadi terlalu sibuk ketika undian Dewan, kata setiausaha PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlalu sibuk dengan hal parti untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat di mana beberapa rang undang-undang kontroversi, termasuk Bajet 2016 diluluskan.
"Dia ada banyak (perkara) perlu dilakukan. Kadang-kala dia tidak berada dalam negara," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, Hadi selaku ahli parlimen Marang, perlu dimaafkan meskipun tidak dapat hadir ketika Dewan Rakyat membuat undian kerana beliau terpaksa menguruskan hal-hal parti.
"Ia bergantung. Apabila dia mempunyai perkara penting di luar Parlimen, dia mesti dimaafkan," katanya.
 Takiyuddin yang juga adalah ahli parlimen Kota Baru, menegaskan bahawa Hadi sering menghadirkan diri pada sidang Dewan Rakyat apabila keadaan mengizinkan. Beliau juga menolak masalah kesihatan sebagai punca presiden PAS itu gagal menghadiri sidang yang penting.
Tahun ini sahaja, Hadi tidak mengundi rang undang-undang Pencegahan Keganasan (Pota) dan pindaan Akta hasutan.
Kelibatnya, juga tidak kelihatan ketika Dewan Rakyat meluluskan bacaan kedua Bajet 2016 pada Isnin lalu.
Hadi, bagaimanapun, enggan mendedahkan sebab ketidakhadirannya apabila Bajet 2016 telah diluluskan di peringkat dasar dengan 128 undi memihak dan 74 undi menentang.

PAS Takut, Halang Debat Terbuka Husam-Mustafa

PAS Larang Debat Terbuka Husam-Mustafa

PAS menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana pihak menganjurkan perdebatan atau perbincangan secara umum yang membabitkan isu dalaman parti itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan juga menasihatkan kepada pihak yang terlibat dalam kemelut terutama yang membuat dakwaan terhadap parti dan pimpinan perlu membincangkan kemelut itu di peringkat parti.

Beliau berkata demikian merujuk kepada isu dalam PAS yang didakwa oleh beberapa pimpinan parti itu mengenai isu kononya kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu PAS dan Umno bergabung di negeri Selangor.


Terkini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Datuk Mustafa Ali dengan bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa telah bersetuju untuk mengadakan satu perdebatan berkenaan isu tersebut.

Bercakap di hadapan pemberita di Lobi Parlimen petang ini, Takiyuddin telah mengeluarkan satu surat kepada Husam untuk hadir di hadapan Dewan Harian PAS pada 24 November ini.

"Di sini beliau boleh memberi penjelasan kepada Dewan Harian atas dakwaannya tersebut. Kita bagi peluang seluasnya untuk dia memberi penjelasan.

"Jika sekiranya dia rasa Presiden adalah pihak berkepentingan mungkin tanpa kehadiran Presiden dia boleh beri keterangan, yang ada lagi Timbalan Presiden dan Naib. Di dalam surat itu juga saya menyatakan beliau boleh membawa semua bukti-bukti atau dokumentari yang perlu," katanya.

Katanya, PAS sebagai sebuah parti Islam tidak boleh membangkitkan perkara yang boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah.

"Dakwaan yang ada asas hendaklah pergi melalui saluran yang betul. Husam boleh bangkitkan dalam mesyuarat perhubungan kalau betul-betul niat untuk menjaga parti," katanya.

Jelas Takiyuddin, Mustafa Ali merupakan Ahli Dewan Harian turut hadir pada 24 November ini dan mungkin di dalam pertemuan itu kemelut ini boleh diselesaikan dengan lebih baik.

Ketua cawangan desak Najib berundur tidak gentar dipecat UMNO

Dia mendakwa lebih banyak UMNO bahagian serta cawangan di Selangor dan negeri lain akan membuat desakan yang sama tidak lama lagi.
123PETALING JAYA: Ketua UMNO Cawangan Rista Villa Perdana, Rushdan Mohamed, tidak gentar jika dipecat susulan desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.
Katanya, dia dan 20 UMNO cawangan telah melakukan tindakan yang tepat kerana Najib gagal berperanan sebagai Perdana Menteri yang baik apabila dituduh terlibat dengan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion.
“Saya tidak mempunyai masalah sekiranya dipecat , parti mempunyai hak untuk memecat saya, silakan. Kami mewakili 20 cawangan tidak gentar sekiranya dipecat, malah apa yang saya lakukan ini tidak melanggar Perlembagaan parti kerana akar umbi berhak bersuara.
“Gerakkan yang saya lakukan ini boleh memberi kesan kepada UMNO seluruh negara, kerana saya tidak risau dengan jawatan, apa sangat yang ada dengan jawatan, saya mengorbankan diri demi kebaikkan seluruh ahli parti,” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing untuk membawa kesnya kepada UMNO Pusat.
Bercakap kepada FMT, Rushdan turut membidas kenyataan Marsum kononnya tindakan mendesak Najib berundur kerana dia kecewa apabila banyak kali tewas dalam pemilihan parti peringkat bahagian sebelum ini.
“Saya juga dituduh tidak tidak mengadakan mesyuarat cawangan pada 2014, tetapi apa yang berlaku bukan cawangan saya tidak bermesyuarat tetapi berpuluh cawangan lain melakukan pekara sama kerana berlakunya sabotaj parti semasa PRU13,” katanya.
Rushdan turut mendedahkan banyak cawangan dan bahagian UMNO dalam dan luar Selangor akan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan selepas ini.
“Di Sepang sudah lebih 20 cawangan menyokong tindakan kami, malah cawangan dan bahagian lain di Selangor dan negeri lain akan melakukan sidang media untuk menolak kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO tidak lama lagi,” katanya.

Umno@Bn Terdesak: Soalan politik kertas Pendidikan Moral SPM timbulkan kekecohan

Kertas soalan Pendidikan Moral SPM pada Selasa lalu menimbulkan kekecohan kerana didakwa mempunyai motif politik yang berat sebelah.
Calon SPM mengadu bahawa kerajaan dilihat cuba mempengaruhi fahaman politik mereka menerusi kertas Pendidikan Moral dan mengindoktrinasi mereka supaya tidak lagi menyertai atau mengambil bahagian dalam aktiviti politik.
 Mengimbas kembali soalan berdasarkan ingatan, pelajar berkata calon bagi kertas tersebut diminta untuk menjawab soalan-soalan berdasarkan nota ringkas dan gambar.
(Peraturan Peperiksaan melarang calon-calon daripada membawa kertas soalan keluar dari dewan peperiksaan.)
Nota itu menyebut bahawa penjawat atau kakitangan awam tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam protes anti-kerajaan; manakala gambar itu memaparkan dua pelajar sedag bercakap antara satu sama lain.
Pelajar A sedang menampal poster mempromosikan perhimpunan anti-kerajaan dan berkata bahawa beliau akan menerima RM100 selepas selesai menaikkan poster. Pelajar B pula menasihatkan pelajar A suapaya tidak berbuat demikian.
Soalan-soalan yang diajukan:
(a) Mengapa pelajar tidak seharusnya mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-kerajaan?
(b) Bagaimana sekolah boleh mengelakkan pelajar daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-kerajaan?
(c) Kita perlu menyokong pendirian Pelajar B. Mengapa?
Seorang lagi calon SPM mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa soalan-soalan itu ditanya dalam kertas Pendidikan Moral SPM tahun ini.