Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa untuk mengangkat sumpah talak isteri.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kesediaan Husam untuk meneruskan niat mengangkat sumpah talak bagi membuktikan dakwaannya berasas.
“Biar dia sumpah talak…kalau apa yang dia kata betul dan kami berbohong, sila sumpah.
“Dia tiada (dalam mesyuarat), dia di Kelantan, dia tak tahu apa-apa,” katanya di dalam sidang media di program ‘Jelas bersama Presiden’ anjuran Muslimat Pas di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.
Jelas Hadi lagi, dakwaan yang dikeluarkan Husam adalah tidak berasas memandangkan pihak Pas tidak pernah membincangkan untuk membentuk kerajaan perpaduan di Selangor bersama Barisan Nasional (BN).
Namun, perkara berkenaan pernah berbangkit pada era 70-an lalu yang mana ianya melibatkan gabungan semua parti yang ada di Malaysia sambil menjelaskan berkenaan rundingan yang pernah berlangsung pada 2008 lalu.
“Dakwaan Husam itu ketinggalan zaman, itu krisis pada tahun 70-an dulu.
“Kalau pada tahun 2008, yang mana ianya gabungan melibatkan semua parti, bukan BN sahaja… Tapi tak jadi sebab ada parti yang tidak setuju.