KUALA LUMPUR, 5 November:

Orang Melayu di negara ini boleh bersatu dan ia akan menjadi realiti, sekiranya PAS mengambil pendekatan untuk berkerjasama dengan Umno.
Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, perpaduan orang Melayu tidak akan dapat direalisasikan, jika PAS taksub dengan kepentingan politiknya.
Menurutnya, Umno dan PAS perlu melangkah jauh ke hadapan, demi menjamin survival orang Melayu dan umat Islam yang berdepan cabaran politik semakin kritikal.
“Umno dan PAS perlu realistik, masa depan orang Melayu berada dalam kedudukan membimbang, jika perpecahan terus berlarutan, hanya disebabkan perbezaan ideologi politik,” katanya.
Tambah Syed Ali, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti Islam itu hanya bersedia untuk menjadi penasihat kerajaan Barisan Nasional dalam mentadbir urus negara ini dilihat kurang tepat.
Jelasnya, kenyataan seperti itu tidak menepati hasrat orang Melayu yang mahukan PAS bekerjasama dengan Umno.
“Umno tidak memerlukan PAS sebagai penasihat, kerana kaedah itu tidak bermakna bagi mencapai hasrat menyatupadukan orang Melayu di negara ini.
“Umno meletakkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam sebagai teras agenda perjuangan politik sejak mula ditubuhkan.
“Umno telah membuktikan keberkesanannya, tetapi demi masa depan dan survival Melayu, Umno sedia membina jambatan kerjasama dengan PAS,” tegasnya.