KUALA LUMPUR - Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu ditolak kerana ia tidak mampu memacu negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020," tegas ‎Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berucap dalam Dewan Rakyat hari ini, Wan Azizah mendakwa Bajet 2016 hanyalah 'bajet talian hayat' untuk menyelamatkan Najib.

"‎Kebanyakan peruntukan adalah sebagai permulaan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang di isytihar sebagai ‘Pusingan Terakhir’ sebelum mencapai Wawasan 2020.

"Dalam pada itu, pada pemerhatian saya RMK-11 bakal menerima nasib seperti RMK sebelum ini. Kerana ‎semenjak RMK-10, Penilaian Laporan Separuh Penggal RMK tidak lagi dibentangkan di Parlimen.

"Ditambah lagi dengan amalan sejak 2011 untuk tidak lagi membentangkan Laporan Ketua Audit Negara semasa sesi pembentangan, ia hanya mengesahkan bahawa prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan timbang tara gagal diamalkan. Oleh itu kita perlu tolak Bajet ini, bagi saya tolak Bajet, tolak Pekan,"  katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut membidas pertambahan peruntukkan terhadap Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang hampir RM1 bilion.

"Seperti dijangkakan dan menjadi satu kebiasaan peruntukan Jabatan Perdana Menteri bertambah RM 1 billion kepada RM 20.3 billion, tertinggi dalam sejarah JPM," katanya yang juga Presiden PKR.