
Proses siasatan membabitkan dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya diganggu jika tiada sebarang kesalahan dilakukan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan presiden Umno itu berkata, orang ramai ingin melihat proses siasatan membabitkan transaksi syarikat sarat hutang milik Kementerian Kewangan itu dijalankan dan mereka mahu mengetahui hasilnya.
"Rakyat mahu supaya proses siasatan itu dijalankan. Jangan campur. Yang rakyat nak tahu, apa hasilnya. Kalau tak bersalah, tak bersalahlah. Kalau bersalah, kita hukum," katanya tanpa merujuk kepada mana-mana individu atau institusi.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog bertajuk 'Berani Kerana Benar' di Hotel Grand Blue Wave, Johor Baru hari ini. Bagaimanapun, beliau berkata, dengan pilihan raya umum akan datang sebagai penentu, siasatan yang dijalankan juga tidak seharusnya berlarutan sebegitu lama.
"Kalau keadaan (siasatan) itu tidak berlaku, apa-apa kesalahan biarlah. Sampai masa rakyat akan tahu juga nanti.
"Yang hak akan timbul dan yang batil itu akan tenggelam, lambat laun. Tetapi, jangan lambat-lambat sangat, penentunya pilihan raya nanti," kata ahli Parlimen Pagoh itu.
Beliau berkata, isu berkaitan 1MDB bukan hanya melibatkan Umno, sebaliknya turut membabitkan semua parti komponen dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), kerana itulah beliau bersuara.
"Suara saya ini bukan nak menumbangkan sesiapa. Takkan saya nak biarkan. Kalau saya tidak bersuara, siapa nak bersuara?" soalnya.
Muhyiddin yang digugurkan daripada Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai berkata, beliau sedar realiti pemimpin Umno di peringkat cawangan dan bahagian yang takut untuk bersuara kerana khuatir dikenakan tindakan, malah sehingga kepada keadaan dipecat.
"Yang dekat sini semua takut... takut kena pecat ketua cawangan, ketua bahagian.