KOTA BHARU, 21 Oktober:

PAS tidak pernah dirujuk atau dihubungi parti lain, khususnya PKR untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, usul yang dibawa PKR ke sidang Dewan Rakyat kali ini adalah tindakan sia-sia, kerana tiada kesepakatan dicapai antara parti pembangkang.
“PAS langsung tidak dirujuk mahupun dimaklumkan oleh parti pembangkang lain berhubung rancangan membawa usul berkenaan ke Parlimen sebelum ini.
“Kalau tak ada preparation yang baik, tiada perbincangan, tiada kata sepakat, maka usul itu akan jadi usul biasa sahajalah, sebab itu usul ini tak boleh buat main-main macam tu,” katanya selepas menghadiri Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam tadi.
Semalam, Ahli Parlimen PKR-Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dilaporkan akan menarik balik usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dikemukakannya, untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membawa usul sama.
Bagaimanpun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membayangkan, usul itu tidak mungkin dibahas pada sesi kali ini, kerana setiap usul perlu dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan bermula.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS tidak lagi terikat dengan parti pembangkang lain, selepas masing-masing memutuskan hubungan politik dalam Pakatan Rakyat.
Jelasnya, PAS sekarang hanya menjalin hubungan dengan PKR dan mungkin juga parti-parti politik lain.
“Kalau ikut normalnya, Pilihan Raya Umum (PRU) dalam dua tahun lagi, jadi mungkin dalam dua tahun ini, ada persefahaman dengan parti-parti lain, mungkin masa itu ada perbincangan mengenai kerusi.