PETIKAN ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sempena Himpunan Fastaqim (H60K) di Kota Bharu, 17 Oktober lalu.

ALLAH menetapkan peraturan hidup manusia, bukan sahaja hubungan dengan ALLAH, termasuklah juga dengan politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Semua perkara ditunjuk oleh ALLAH, kalau kita mengubah kejadian ALLAH, menonggeng kepala ke bawah ketika berjalan, begitulah juga politik yang tidak mengikut petunjuk ALLAH, tidak istiqamah namanya.

Maka politiknya akan jadi tunggang langgang. Begitulah ekonomi yang tidak istiqamah, macam membawa tabung duit menunggang ke bawah, sudah tentu banyak duit yang akan tumpah dan akan hilang. Begitulah juga dengan akhlak dan perangai manusia tidak mengikut petunjuk ALLAH bermakna bukan manusia yang sebenar. Akan memusnahkan kehidupan mereka.

ALLAH menyuruh seluruh umat pada zaman dahulu supaya istiqamah, bukan sahaja ketika beribadah, bukan berjuang di atas muka bumi, untuk menegakkan syariat ALLAH yang adil menentang kezaliman.

Niat yang betul, ikhlas kerana ALLAH, jangan tujuan yang lain, akidah kepercayaan kepada ALLAH, percaya pada janji ALLAH, beriman benar dengan adanya syariat ALLAH, matlamat bahagia dunia dan akhirat yang tidak boleh diubah sekali-kali.

Strategi, pendekatan boleh diubah, akidah perjuangan, akhlak perjuangan, matlamat perjuangan, tidak boleh diubah. Yang tidak mengerti ialah mereka yang mahu menang cepat. Mencari jalan yang dekat, melintas jalan, menjadikan tidak istiqamah, menjadikan tidak betul dalam perjuangan, macam kera yang menyambar ke arah mana pokok yang banyak buah. Bila melihat buah kita tidak banyak, melompat ke pokok yang lain yang lebih banyak buahnya. Ini tidak istiqamah.

Begitulah mereka yang berundur yang berhenti berjuang, kerana putus asa kerana menganggap Islam tidak akan menang. Ini tidak istiqamah, ALLAH menyuruh Nabi Muhammad juga beristiqamah, “Maka beristiqamahlah kamu wahai Muhammad, engkau beristiqamah dan pengikut-pengikut mu yang bertaubat meninggalkan jahiliah kepada Islam mestilah beristiqamah.” Jangan melampaui batas, ikut akhlak Islam, perangai Islam, cara Islam dalam perjuangan.

Sesungguhnya ALLAH mengetahui dan melihat apa yang kamu kerjakan, “ALLAH melihat apa yang kamu buat”, maka Nabi kita Muhammad mengajar pengikut-pengikutnya istiqamah, setelah percaya Islam ini akan menang. Islam akan berjaya, ALLAH berjanji... ALLAH berjanji kepada orang-orang beriman, kerjakanlah amal yang soleh di kalangan kamu, yang berjuang untuk memenangkan Islam, ALLAH berjanji kepada mereka untuk memerintah negeri, ALLAH berjanji Islam akan menang, seperti ALLAH tunaikan janji kepada umatnya pada zaman dahulu.