“Beliau seorang ‘wild card’,” kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli merujuk kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Rafizi berkata demikian menjawab soalan pemberita mengenai tahap keyakinan pakatan pembangkang ke atas Pandikar untuk membenarkan usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dibentang dan dibahaskan di Parlimen.
“Untuk berlaku adil kepada beliau, kadangkala beliau mempunyai keadaan di mana ada naik dan turun dalam hubungannya dengan Ahli Parlimen pembangkang.
“Ada hari di mana beliau sangat tegas dan akan menendang orang keluar dari dewan dan ada hari di mana beliau memberikan banyak ruang yang mana ia tidak pernah dilakukan oleh Yang Dipertua sebelumnya.
“Jadi ia menyebabkan beliau adalah seorang yang cukup sukar untuk dibaca dan beliau saya lihat akan kekal sebagai ‘wild card’,” katanya.
Tambah Setiausaha Agung PKR itu lagi, pembangkang akan bertemu dengan Pandikar namun adalah sangat sukar untuk membaca ‘mood’ beliau.
“Beliau adalah seorang yang terpelajar dan bijak yang mana beliau turut mempunyai kekangan yang tersendiri namun begitu ruang untuk berbincang sentiasa ada dan kami akan bertemu dengannya.
“Saya tidak merasakan beliau berpihak kepada sesiapa dan merupakan seorang ‘wild card’. Saya rasa terserah kepada blok pembangkang untuk meyakinkan beliau dan saya yakin Ketua Whip kami akan terus berbincang dengan beliau,” ujarnya.