Naluri seorang reformis yang ada dalam diri bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dilihat antara faktor yang menyebabkan beliau menyertai PKR.
Penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, Saifuddin merupakan seorang reformis dan memegang prinsip untuk melakukan agenda reformasi, melalui mana-mana platform, tidak terhad dalam Umno.
Menurutnya, agenda tersebut secara jelas dapat dilihat sejak beliau memimpin Majlis Belia Malaysia dan kemudiannya diterjemahkan semula, selepas berada dalam Umno.
“Jadi, keluarnya Saifuddin daripada Umno itu, bukan bermakna beliau telah gagal membawa agendanya di dalam parti berkenaan, tetapi mungkin disebabkan ruang untuk berlakunya reformasi itu telah terhalang.
“Jadi, mungkin perkiraan beliau, PKR boleh memberi ruang dan peluang kepadanya, untuk meneruskan agendanya yang terbantut tersebut dan sudah pasti beliau akan menjadi aset serta barisan hadapan baru PKR, bagi berhadapan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada The Rakyat Post, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Saifuddin ‘berhijrah’ daripada Umno ke PKR yang diumumkan secara rasmi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Khamis.
Penghijrahan Saifuddin itu berlaku, selepas khabar angin bertiup kencang di media sosial kelmarin, mengatakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu akan meninggalkan Umno.