Pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya mencabar kesahihan Akta Hasutan 1948.
Lelaki berusia 46 tahun itu menyifatkan keputusan itu sebagai “kekecewaan buat negara.”
“Sekarang, saya perlu kembali ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.
“Saya harap merit kes itu akan menunjukkan saya tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya merujuk kepada pertuduhan menyebut perkataan menghasut, berhubung krisis Kerajaan Negeri Perak pada 2009.
Pagi tadi, panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan memutuskan, Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 konsisten dengan Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Peguamnya sebelum ini berkata, peruntukan yang dibuat sebelum negara mencapai kemerdekaan itu tidak boleh mengehadkan kebebasan bersuara, kerana Akta Hasutan bercanggah dengan Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 10 menjamin hak warganegara Malaysia dalam bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Ditanya jika keputusan itu akan menjejaskan komentar-komentar yang dibuat di dalam negara ini, Azmi berharap rakyat akan terus menyuarakan pendapat mereka.
“Kita tidak boleh membiarkan undang-undang zalim menakutkan kita,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 60 pelajar, kebanyakannya dari UM yang berkumpul di luar Istana Kehakiman sejak jam 8.30 pagi tadi, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “menghampakan” hak asasi manusia.
“Kami akan terus menentang Akta Hasutan, kerana ia adalah undang-undang drakonian,” kata Setiausaha Agung Progresif UM, Vince Tan.