Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menafikan ia merampas aset milik PAS Johor yang sudah dijadikan markas parti Islam itu.
Sebaliknya, tegas Timbalan Pengerusinya, Dzulkefly Ahmad, parti itu hanya mengambil alih bangunan yang diwakafkan semula oleh pemiliknya kepada Amanah.
“PAS perlu bersikap terbuka, kerana tidak adil untuk tuduh kita perampas, seolah-olah menggambarkan Amanah ialah parti yang zalim.
“Kita hanya menerima dua bangunan, iaitu di Pontian dan Bakri yang diwakafkan semula oleh pemiliknya kepada Amanah.
“Kita tidak berniat untuk merampas, sebaliknya akan menjadikan ia sebagai bangunan guna sama untuk Amanah dan PAS,” katanya kepada akhbar Sinar Harian.
Menurut Dzulkefly, Amanah telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Aset yang dianggotai peguam dan perunding hartanah, untuk menangani isu membabitkan aset sepencarian bersama PAS Johor.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed mendakwa, Amanah Johor tidak amanah, kerana berhasrat mengambil alih beberapa aset yang telah dijadikan markas PAS di dua kawasan.
Tegas Mahfodz, mengikut hukum Islam, bangunan yang telah diwakafkan kepada PAS kekal menjadi milik parti itu, sekalipun pemilik asalnya telah melompat ke parti lain.
“Bangunan atau tanah yang diwakafkan tidak lagi menjadi hak milik individu itu, ia kini adalah milik masyarakat, kerana ia dibina menggunakan sumbangan orang ramai.
“Tidak wajar untuk menukar pemilikan, walaupun pemiliknya telah melompat parti. Dari segi hukum, langkah itu tidak betul, ia tidak amanah.
“Aset ini bukan harta sepencarian, kerana pada asalnya sumbangan diberikan untuk PAS, walaupun mereka sudah dapat surat daripada pesuruhjaya sumpah, tetapi dari segi hukum, ia adalah hak PAS.
“”ita masih belum buat keputusan tentang perkara ini, tetapi kita akan muktamadkan dan membawanya ke mahkamah, jika PAS berpeluang menang,” kata Mahfodz yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.