KOTA BHARU, 30 September:

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan keadaan pembangkang sekarang seolah-olah seperti kembali ke zaman Angkatan Perpaduan Ummah (APU) apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat menjalinkan hubungan dengan Pas melalui Pakatan Rakyat (PR) dan pada masa sama turut membuat hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) melalui Pakatan Harapan (PH).
Beliau bagaimanapun menganggap perkara itu sebagai ‘biasa’ kerana katanya jika dilihat pada zaman ketika Tengku Razaleigh Hamzah ketika mengetuai Semangat 46 dahulu beliau juga membuat hubungan seperti ini dengan Pas melalui APU manakala dengan DAP melalui Gagasan Rakyat.
Katanya, perkara itu adalah normal dan hubungan di antara PKR dengan PAS masih sama walaupun komponen yang lain (DAP) sudah lari dan membuat pakatan lain.
“Bagi saya PR wujud kini antara PKR dan Pas. Soal PKR dengan DAP dan Amanah, itu hak mereka. Begitu juga di zaman Ku Li (Tengku Razaleigh) dahulu bila mana dia membuat pakatan dengan Pas melalui APU tetapi pada masa sama turut berpakat dengan DAP melalui Gagasan Rakyat.
“Perkara ini sebenarnya adalah biasa sahaja,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas sama ada tindakan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang bertindak melompat parti ke PKR sebagai membuka jalan kepada ahli lain turut berbuat demikian, Mohd Amar menjelaskan perkara itu sebenarnya memang sedang dipantau dan menganggap ia sebagai tidak sepatutnya berlaku.