Mohd Syazwan Rahimy
Saya tertarik dengan perkembangan semasa berkenaan biasiswa-biasiswa kerajaan, iaitu biasiswa MARA dan JPA.
Beberapa bulan yang lepas kita dihadapkan dengan laporan berkenaan pembelian hartanah di Australia daripada pegawai MARA. Ia memberi gambaran mereka mempunyai wang yang banyak sehinggakan boleh menggunakan wang untuk sesuatu yang menyimpang dari matlamat penubuhan Majlis tersebut.
Jadi agak mengejutkan apabila beberapa ketika selepas itu MARA membatalkan penghantaran 31 pelajar ijazah perubatan ke UK dan Ireland kerana alasannya ekonomi dan keadaan pertukaran wang yang tidak baik. Adakah ini kerana duit yang sudah disalurkan pada tempat yang tidak patut?
Kemudian beberapa minggu yang lalu, bangkit pula isu 115 pelajar JPA, Batch A Level 2015, yang juga tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pelajar-pelajar yang sudah pun menamatkan pelajaran Tahun Asas (foundation A Level) di Kolej INTEC ini dikatakan tidak menepati tahap kecemerlangan. Namun begitu apa yang membingungkan adalah, mengikut beberapa pelajar, tiada sebarang notis awal diberikan mengenai syarat tersebut.
Malah, ramai di kalangan pelajar-pelajar ini yang mendapat tempat di Universiti UK dan sebagainya berdasarkan keputusan yang dicapai.
Mereka juga mengatakan sebelum ini ramai pelajar yang tidak menepati tahap kecemerlangan tetap diberi peluang menyambung pelajaran ke luar negara.
Keputusan JPA untuk tidak membenarkan mereka sambung pelajaran ke luar negara pula tidak disusuli dengan sebarang solusi untuk mendapatkan tempat di Universiti tempatan. Seperti pelajar-pelajar MARA sebelum ini, pelajar-pelajar JPA ini diminta berusaha sendiri. Baiklah, tetapi UPU sudah tutup dan Universiti tempatan tidak menerima sijil A Level. Jadi apakah jalan alternatif untuk mereka?
Sekarang bangkit pula isu pelajar-pelajar A Level batch 2016 biasiswa JPA yang ditamatkan kontrak serta-merta sedangkan belum sempat menghabiskan pengajian A Level. Pelajar-pelajar cemerlang SPM ini masih ada beberapa semester untuk menambah baik keputusan, namun diarahkan untuk keluar daripada Kolej INTEC. Malah tiada sebarang surat atau notis formal yang diberikan. Sekarang, selepas lebih setahun menduduki pengajian Tahun Asas, tanpa sebarang sijil diterima, mereka seperti perlu bermula semula.