KUALA LUMPUR, 9 September:
Dua pemimpin Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal tidak dipecat daripada parti itu, ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno berlangsung pada petang tadi.
Sebelum ini, ramai yang menjangkakan MT Umno akan membuat keputusan berhubung kedudukan Timbalan Presiden Umno dan Naib Presiden Umno itu, susulan pemecatan mereka daripada jawatan menteri dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lalu.
Khabar angin berhubung pemecatan mereka bersama lima pemimpin negeri lain kencang bertiup sejak minggu lalu, sehingga menyebabkan parti itu dibelenggu kebimbangan berhubung senario berkenaan.
Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata, mesyuarat hari ini diadakan dalam suasana baik dan setiakawan yang tinggi.
Beliau turut menyambut baik pembabitan Muhyiddin sebagai timbalan presiden yang turut menyuarakan kesetiaan kepada parti dan akan terus berjuang demi kejayaan Umno.