KOTA BHARU, 7 September:
Penyelaras Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menjelaskan parti baru itu akan mempertimbangkan untuk tidak bertanding jika pembabitan mereka akan memberi kemenangan mudah kepada Umno kelak.
Beliau juga menjelaskan pihaknya tidak mahu jadi pihak yang merosakkan suasana dan beri kemenangan mudah kepada Umno.
Bagaimanapun, katanya, PAN Kelantan bersedia tolong Pas jika perlu, untuk Pas mengalahkan Umno.
Namun begitu, apa yang menjadi masalah sehingga sekarang pihaknya tidak mendapat maklum balas dari Pas sendiri sama ada bersedia berunding atau sebagainya.
“Kalau sebelum berbincang pun sudah pusing belakang, kita nak buat macam mana,” katanya yang ternyata kecewa dengan sikap kepimpinan Pas Kelantan.
Wan Abdul Rahim turut menyatakan barisan pimpinan Parti Amanah Negara Kelantan bakal diperkenalkan pada satu majlis yang akan diadakan pada 11 September ini.
Beliau berkata majlis itu akan dihadiri 33 ahli jawatankuasa peringkat negeri sebagaimana yang sudah diputuskan.
“Apa yang pasti Dr Hatta Ramli (Kuala Krai) dan seorang lagi telah mengesahkan penghijrahan mereka, selebihnya kita akan umumkan kemudian,” katanya.