SERI KEMBANGAN, 31 Ogos:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menjaga kerohanian pengundi, untuk meraih sokongan rakyat di Selangor, kerana mereka tidak akan bersyukur, sekalipun diberikan wang atau kehendak mereka dipenuhi.
“Kita perlu mengawal emosi pengundi dan kepuasan mereka, bukan dengan cara menabur wang ringgit atau berikan apa sahaja yang mereka mahukan, kerana apabila kita bagi sesuatu, mereka tidak rasa berterima kasih.
“Sebaliknya, kita perlu jaga kerohanian mereka dan satukan hati mereka. Kalau mahu jadi pemimpin di Selangor, ubahlah minda dan cara kita, agar pengundi tahu yang BN dan Umno memerintah lebih baik daripada kerajaan sedia ada,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Puchong, hari ini.
Beliau berkata, meskipun undian sebanyak 57.9 peratus yang diraih BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-12, meningkat kepada 58.9 peratus pada PRU ke-13, hakikatnya adalah BN dan Umno masih gagal menawan Selangor, kerana sokongan daripada pengundi Cina dan India merosot.
“Masa PRU12, undi Cina meningkat sebanyak 29.8 peratus dan menurun kepada 13.4 peratus pada PRU13.
“Begitu juga dengan undi masyarakat India yang menurun daripada 36.3 peratus kepada 34.7 peratus,” katanya.
Sementara itu, beliau sekali lagi mengingatkan pemimpin BN dan Umno supaya tidak mengamalkan sifat pemimpin bermusim.
Menurutnya, jika mereka mengamalkan sikap lebih prihatin, tidak mustahil pengundi Melayu, Cina dan India akan kembali mengundi pemimpin BN dan Umno di Selangor.