KUALA LUMPUR, 20 Ogos:

Isu undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat menyebabkan berlakunya percanggahan pendapat dalam kalangan pimpinan tertinggi Pas.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkaitan undi tidak percaya telah disalah tafsir membuktikan perbezaan pendapat yang berlaku di dalam parti Islam tersebut.
Menurutnya, tindakan Tuan Ibrahim dan juga Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali yang mengatakan Pas mungkin akan memyokong usul undi tidak percaya berkenaan mungkin disebabkan tekanan daripada DAP yang mengatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih selesa dengan kepimpinan Najib.
“Oleh itu mungkin disebabkan tekanan berkenaan kedua-dua mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian ketika mana Pas sendiri tidak mempunyai pendirian rasmi ke atas undi tidak percaya tersebut.
“Di sini juga mungkin berlakunya pertembungan antara pemimpin konservatif dan bukan konservatif dalam Pas yang menyebabkan sokongan ke atas undi tidak percaya itu akan terbahagi dua.
“Malah Tuan Ibrahim dan Mustafa bukanlah antara Ahli Parlimen yang mewakili Pas di Parlimen dan ia seolah-olah menjadikan kenyataan tersebut tidak relevan kerana hanya wakil rakyat sahaja yang boleh mengundi usul tersebut,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu bahawa Tuan Ibrahim sebenarnya mengatakan Pas menerima bahawa proses undi tidak percaya sebagai satu proses demokrasi dan bukan isu sokong atau tidak sokong.