KOTA BHARU, 15 Ogos:
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meminta semua pemimpin parti itu di pelbagai peringkat termasuk akar umbi untuk sama bersatu dalam mempertahankan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada serangan pihak tertentu.
Sambil melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap berdiam diri sesetengah pemimpin parti, Abdul Azeez berkata sehingga kini tidak ada pun usaha untuk membela dan mempertahankan pucuk pimpinan parti dari serangan yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya rayu kepada semua pemimpin Umno, marilah kita sama-sama bersatu hati. Kita ceritakan kebaikan 1MDB dan apa yang 1MDB telah bantu kita selama ini.
“Saya minta semua pemimpin akar umbi pertahankan institusi parti Umno bukannya Najib. Kalau jatuhnya parti, jatuhlah semua,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kota Bharu di sini hari ini.
Menurut Abdul Azeez, bukan susah untuk mereka menjelaskan kepada rakyat mengenai kebaikan 1MDB seperti membiayai golongan yang tidak berkemampuan menunaikan haji di Mekah selama lima tahun berturut-turut dan membaiki serta membaik pulih ribuan rumah penduduk miskin di seluruh negara.