Bila UMNO menghadapi cabaran akhir-akhir ini dikatakan defisit sokongan terjadi. Ada beza antara persepsi awam dan kelompok yang memang diketahui anti UMNO dan kerajaan dengan kelompok majoriti yang masih bertahan mendukung kerajaan. Penyusunan semula Kabinet dan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dilihat dalam berbagai perspektif dan andaian kemungkinan.
Pertama ia adalah prerogatif atau bidang kuasa Perdana Menteri yang mengambil keputusan yang kontroversi. Kedua, rentetan daripadanya mungkin berlaku konflik dalam UMNO sekiranya usaha menyantuninya tidak terjadi.
Perpecahan yang berlaku dalam Pas menggerakkan DAP merangsang penubuhan parti baharu bersumber dari Gerak­an Harapan Baru (GHB) dan menonjolkan Mohamad Sabu sebagai tokoh utamanya. DAP bersungguh-sungguh melakukan ini kerana ingin menggantikan Pas dalam pakatan baharu yang bakal ditubuhkan. Ini mungkin memberi kesan politik umat Melayu masa depan.
Kemelut yang sedang berlaku dalam UMNO kini menuntut pendekatan bijaksana jangan sampai perpecahan terjadi dan menyebabkan UMNO lemah dan menghadapi defisit sokong­an dan sukar menghadapi situsai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Politik Malaysia amat memerlukan kekuatan orang Me­layu menguasai kerajaan. DAP dengan Impian Malaysianya melakukan strategi pecah-perintah ini dengan terancang dan ada orang Melayu dan generasi muda yang mula terpikat dengan cita-cita DAP menguasai Malaysia menerusi Sekolah Demokrasi yang ditubuhkan untuk merekrut pelajar-pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT).
UMNO dan Pas menyedari apa yang sedang berlaku. Tentang­an UMNO terhadap cita-cita DAP itu disedari sejak awal penubuh­an parti itu kerana menyedari semangat PAP ada dalam roh perjuangan Malaysian Malaysia DAP. Pas semakin faham bahawa DAP dalam Pakatan Rakyat menjadi faktor penentu dalam gagasan pembangkang dan berusaha menjatuhkan imej Pas.