Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mahu Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat memutuskan segera pendirian mereka bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pimpinan parti yang berhasrat menubuhkan parti lain.
Menurutnya, kenyataan berbeza yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak dalam PAS hanya mengelirukan keadaan dan tidak mencerminkan pendirian sebenar PAS Pusat.
“Masalah sekarang ini kita dapat kenyataan yang berbeza-beza daripada PAS Selangor ada, PAS Kelantan, daripada Pemuda Selangor ada. Tetapkan pendirian betul-betullah.
“AJK PAS Pusat duduk bermesyuarat bincang tentang masalah kami ini dan beri surat kepada kami apa sebenarnya yang kamu hendak.
“Hendak kami letak jawatan ke atau apa-apalah, sudah dapat surat itu baru kami akan respon,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post di pejabatnya di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan PAS Selangor yang mahu pemimpin-pemimpin PAS yang berhasrat untuk meninggalkan parti meletak jawatan segera.
“Sekarang ini hendak respo pun agak berbagai-bagai punya komen, tidak perlu untuk kami respon.
“Beritahu kami pendirian PAS melalui surat rasmi dan bukannya melalui media. Buat secara profesional dan barulah kita akan respon,” tegasnya.