KUALA LUMPUR, 23 Julai:

Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani menganggap pelantikan beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum ini hanyalah dibuat di atas kertas sahaja.
Menurut Mohd Taufek, sehingga hari ini beliau masih belum menerima sebarang surat pelantikan daripada Ibu Pejabat PAS Pusat sekalipun pengumuman berkenaan dibuat 21 Jun lalu.
“Sudah sebulan berlalu tetapi masih belum ada sebarang surat atau pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas atau Whatsapp.
“Jadi tidak ada ‘hitam dan putih’ ke atas pelantikan tersebut dan sekiranya surat itu tiba kelak saya tidak akan menerima pelantikan tersebut,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini hari ini.
Pada 21 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Taufek bersama-sama dua bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub dilantik sebagai AJK PAS Pusat.
Ketiga-tiga mereka dilantik sekalipun tewas dalam pemilihan parti berkenaan yang diadakan sempena Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor pada awal Jun lalu.