Kewujudan Gerakan Harapan Baru (GHB) dilihat tidak mempunyai asas dan objektif yang kukuh dan sebaliknya hanyalah disebabkan pantulan dari sebuah kekecewaan.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mokhtar Senik berkata pantulan biasanya akan semakin mengecil keupayaan dan kekuatannya serta penyokong juga tidak akan dapat lama melayan kekecewaan pimpinan mereka kerana asasnya sangat rapuh.
Menurutnya, GHB dibangunkan oleh orang-orang yang lemah semangat juang mereka serta tiada daya istiqamah dan iltizam untuk memikul sebuah perjuangan yang panjang dan berliku.
“Pemimpin yang berjiwa lemah tidak akan mampu bertahan walaipun cakapnya bergema kuat.
“GHB tidak mampu berdiri sendiri dan dengan itu ia terpaksa bertongkat kepada DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Jika ia bertongkat ia tidak akan mampu membawa idelismenya sendiri sebaliknya mesti bercakap dan bertindak mengikut siapa ia menumpang,” katanya dalam akaun Facebooknya di sini.
Tambah Mokhtar lagi, sekiranya GHB bertegas dengan prinsipnya sendiri yang kononnya lebih Islamik dari PAS, maka ia tidak akan dibiarkan.
Ujarnya, tuan rumah akan bertindak menghalaunya keluar kerana PAS yang bersama-sama membangunkan Pakatan Rakyat (PR) pun DAP boleh lupa diri menghalau PAS inikan pula GHB yg awal-awal lagi terpaksa menagih ehsan DAP.
“Sejarah politik malaysia menyaksikan parti-parti serpihan tidak akan mampu bertahan walaupun pada awal penubuhannya kelihatan kuat dan menggugat.
“Sama-sama kita lihat bidak catur yang sedang bergerak dan teka-teki politik tanahair sedang dilengkap dan dicantumkan yang mana saya yakin kemenangan hakiki adalah untuk orang-orang yang sabar dan Istiqamah bersama Islam,” ujarnya.