PETALING JAYA, 3 Julai:

Peserta himpunan #BatalGST, Maisara Amira diugut rogol oleh polis, kecewa apabila laporannya berhubung perkara itu, lebih dua bulan lalu, diklasifikasikan sebagai `tiada tindakan lanjut’ (no futher action – NFA).
Perkara itu didedahkan peguamnya, Michelle Yesudas dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, keputusan itu amat mengecewakan memandangkan kes berkenaan tidak disiasat terperinci oleh pegawai siasatan yang bertanggungjawab.
“Saya sudah menghubungi polis beberapa kali untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes ini.
“Pada 29 Jun, saya menghubungi Asisten Superitendan Maziah dari ibu pejabat polis Kuala Lumpur dan beliau mengatakan kes itu ‘NFA’ atas arahan Pejabat Peguam Negara. Ini sangat mengejutkan dan tidak masuk akal selepas kami menunggu lama,” katanya yang mewakili Lawyer for Liberty.
Maisara Amira, 20, yang turut hadir dalam sidang media berkenaan turut melahirkan rasa kesal apabila kes itu dianggap tidak serius dan dipandang ringan segelintir pihak.
“Saya rasa hak saya dinafikan dan saya ingin tegaskan jangan pandang perkara ini main-main.
“Saya trauma dan saya tidak lagi percaya kepada polis. Sepatutnya polis melindungi masyarakat dan bukan sebaliknya,” katanya dalam nada sebak.
Peguam yang turut mewakili beliau, Nik Zarith Nik Moustapha menuntut polis mengambil tindakan dan membuka semula siasatan bermula dengan kawad cam.
“Sekarang ini kawad cam pun tidak dijalankan, sedangkan Maisara masih jelas dan ingat ciri-ciri fizikal pegawai polis yang melakukan ugutan tersebut.