Chua Tee Yong 
KUALA LUMPUR – Kedudukan hutang kerajaan Persekutuan kekal terurus dan tidak akan menyebabkan negara menjadi bankrap seperti Greece.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, Malaysia dikategorikan sebagai negara berkehutangan sederhana dan kerajaan terus komited memastikan paras hutang kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, langkah konsolidasi fizikal akan terus dilakukan bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat.

“Ini terbukti dengan kadar defisit berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus daripada KDNK pada 2009 kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada 2014. Defisit diunjurkan akan terus berkurangan kepada 3.2 peratus daripada KDNK pada 2015.

“Kepatuhan tegas terhadap disiplin fiskal dan pengurusan hutang yang baik terus diberikan penekanan bagi memastikan kedudukan fiskal dan makro ekonomi terus kukuh dan dapat menampan sebarang krisis.

"Berdasarkan langkah-langkah kepatuhan kepada disiplin kewangan, kerajaan yakin dan akan memastikan negara tidak akan bankrap seperti Greece,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Seri S Nallakaruppan di sidang Dewan Negara, semalam.