Salleh Man Mat Aji 
GEORGETOWN - Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Salleh Man tidak dapat memberi jawapan sama ada akan mencontohi bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri pada masa ini.

Dalam jawapannya melalui pesanan ringkas (SMS), beliau yang juga Adun Permatang Pasir berkata, beliau kini berada di tanah suci.

"Saya di tanah suci dan sedang mengerjakan umrah," katanya sebagai menjawab pertanyaan Sinar Harian.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu melalui telefon gagal kerana tiada sebarang respon

Walaupun SMS dihantar namun tiada sebarang respon daripadanya yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Difahamkan, beliau bersama peguamnya juga tidak hadir ke mahkamah Butterworth hari ini untuk perbicaraan kes berhubung ceramah mengenai Bukit Kepong pada Ogos 2011.

Kes itu ditangguh hingga Isnin hadapan untuk sambung bicara.